Kita selalu fikir, “Benda ni takkan jadi dekat aku” — sampailah ia berlaku.
Kemalangan secara tiba-tiba, pembedahan mengejut, atau diagnosis penyakit kronik bukan saja menjejaskan kesihatan — malah boleh menggugat kewangan anda. Tanpa insurans perubatan, simpanan boleh habis sekelip mata, impian hidup mungkin terpaksa ditangguh, atau lebih teruk anda boleh terjerat dengan hutang.
Sebab itulah insurans perubatan bukan sekadar “bagus kalau ada” — ia sebenarnya satu keperluan untuk lindungi masa depan kewangan anda. Ini sebabnya:
1. Kos rawatan semakin meningkat
Di Malaysia, kos kesihatan meningkat pada kadar purata 12% hingga 15% setiap tahun, jauh lebih pantas berbanding kadar inflasi biasa. Ini bermaksud, rawatan asas sekalipun kini menjadi semakin mahal dari tahun ke tahun.
Hospital kerajaan memang menawarkan rawatan bersubsidi, tetapi masa menunggu yang lama dan kekangan untuk berjumpa pakar sering membuatkan pesakit memilih rawatan di hospital swasta — terutamanya dalam situasi kecemasan atau kes yang serius.
Namun, rawatan di hospital swasta bukan murah. Pembedahan apendisitis yang biasa pun boleh melebihi RM10,000. Bagi penyakit serius seperti kanser atau sakit jantung, kos rawatan boleh mencecah RM50,000 atau lebih, bergantung kepada tahap kerumitan dan tempoh rawatan.
Tanpa perlindungan insurans perubatan, menampung kos sebegini daripada poket sendiri boleh menjadi beban yang sangat berat.
2. Simpanan kecemasan anda kurang mencukupi
Kebanyakan daripada kita menyimpan untuk kecemasan jangka pendek seperti kerosakan kereta atau kehilangan pendapatan sementara. Namun, penyakit serius atau perlu dimasukkan ke hospital memerlukan kos yang jauh lebih tinggi.
Dengan adanya insurans perubatan, simpanan anda tetap selamat — jadi anda masih boleh terus mencapai impian seperti membeli rumah, membesarkan anak-anak, atau bersara dengan tenang.
Baca juga: Tabung Kecemasan: Kenapa Anda Perlukannya
3. Akses mudah ke rawatan berkualiti
Tiada siapa mahu tunggu berjam-jam di jabatan kecemasan, atau berbulan lamanya untuk temujanji dengan pakar. Dengan insurans perubatan, anda biasanya mendapat:
- Kemasukan lebih cepat ke hospital swasta
- Akses kepada lebih banyak pakar perubatan
- Kemudahan yang lebih selesa (contohnya, bilik persendirian!)
Apabila berdepan masalah serius seperti serangan jantung atau kanser, akses segera kepada rawatan boleh membawa perbezaan besar — malah mungkin menyelamatkan nyawa.
4. Perlindungan sukar diperolehi bila sudah terlambat
Ramai hanya mula memohon insurans perubatan apabila usia makin meningkat atau sudah mula jatuh sakit. Tapi waktu itu, perlindungan mungkin terhad atau langsung tidak diluluskan kerana penyakit sedia ada.
Kalau mula dari awal, anda lebih layak untuk pelan yang lebih menyeluruh, bayar premium lebih rendah — dan yang penting, anda sudah pun dilindungi apabila tiba masa anda benar-benar memerlukannya.
5. Ringankan beban orang tersayang
Apabila ditimpa sakit, keluarga anda bukan saja menanggung beban emosi, malah beban kewangan juga. Insurans perubatan membantu meringankan tekanan ini dengan menampung sebahagian besar kos rawatan — supaya orang tersayang dapat memberi tumpuan kepada menjaga dan menyokong anda.
Panduan memilih pelan insurans perubatan
Memilih pelan insurans bukan sekadar melihat harganya — tetapi juga apa yang dilindungi.
Ciri-ciri perlindungan berbeza mengikut penyedia, tetapi berikut ialah perkara penting yang patut anda pertimbangkan:
Dapatkan perlindungan melalui kwsp
Jika anda ahli KWSP, ada cara mudah untuk mendapatkan perlindungan insurans — tanpa perlu keluarkan duit sendiri terlebih dahulu.
Dengan i-Lindung, Pelan Perlindungan Ahli KWSP, anda boleh menggunakan simpanan KWSP untuk membeli produk insurans perubatan, hayat atau takaful — sama ada untuk diri sendiri atau ahli keluarga.
Anda boleh menggunakan simpanan daripada:
- Akaun Sejahtera (untuk ahli bawah 55 tahun)
- Akaun 55 atau Akaun Emas (untuk ahli berumur 55 tahun ke atas)
Pelan-pelan yang diluluskan ini tidak akan menjejaskan simpanan persaraan anda dalam Akaun Persaraan — menjadikan i-Lindung pilihan yang praktikal, terutamanya jika anda baru mula mengambil insurans atau sedang membina kestabilan kewangan.