Jika keutamaan anda adalah untuk selarikan pilihan simpanan dengan prinsip kewangan Islam, Simpanan Shariah bukanlah sekadar satu pilihan, tetapi ia adalah satu peluang yang perlu dimanfaatkan. KWSP memahami bahawa perjalanan persaraan anda adalah sesuatu yang bersifat peribadi, dan dengan Simpanan Shariah, pilihan kini berada di tangan anda untuk memastikan pilihan kewangan anda mengikut prinsip syariah.
Diperkenalkan pada tahun 2017, inisiatif ini menunjukkan peningkatan yang signifikan dalam penawaran organisasi. Sebagai ahli KWSP, anda kini diberi peluang untuk mengurus dan melaburkan simpanan anda mengikut prinsip syariah dengan beralih ke Simpanan Shariah atau untuk terus kekal berada dalam Simpanan Konvensional anda yang sedia ada.
Sebagai individu Islam, kita mengharapkan simpanan yang bebas dari riba, batil, dan seumpamanya kerana ketenangan hidup bermula dari sumber yang halal dan suci. Namun, masih ramai ahli yang beragama Islam belum membuat pilihan untuk bertukar ke akaun patuh syariah ini.
Akaun Simpanan Shariah adalah pilihan yang menyeluruh dan adil, menyediakan peluang kepada setiap individu untuk melibatkan diri dalam satu sistem kewangan yang mematuhi nilai-nilai moral dan etika. Walau bagaimanapun, pilihan untuk bertukar ke akaun Simpanan Shariah ini tidak terhad kepada ahli yang beragama Islam sahaja. Ianya terbuka kepada semua ahli KWSP tanpa mengira bangsa dan agama untuk menyertai perjalanan menuju kestabilan kewangan yang lebih baik.
Jika anda masih mengalami kesukaran untuk memahami Simpanan Shariah dan masih ragu-ragu untuk bertukar, jangan bimbang, kami bantu ringkaskan untuk anda.