Pengeluaran Haji
Keperluan
Apa Yang Boleh Dikeluarkan
Dokumen Yang Diperlukan
- MyKad
- Surat tawaran dari LTH dengan status "DIPILIH"
Bayaran Balik Pengeluaran
Soalan Lazim
Apakah yang dimaksudkan dengan Pengeluaran Haji?
Pengeluaran Haji ialah kemudahan yang diperkenalkan oleh KWSP sejak 2013 untuk membantu ahli beragama Islam membiayai perbelanjaan asas bagi menunaikan ibadah haji di Mekah. Pengeluaran ini tidak merangkumi keseluruhan kos perjalanan haji, sebaliknya hanya bertujuan menampung keperluan asas untuk ibadah tersebut.
Apakah penambahbaikan bagi Pengeluaran Haji berdasarkan kepada pengumuman Belanjawan Rakyat 2026?
Berdasarkan kepada pengumuman Belanjawan Rakyat 2026, Pengeluaran Haji KWSP telah ditambah baik seperti berikut:
- Had Pengeluaran Haji dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000 bermula Januari 2026 bagi membantu ahli menampung sebahagian kos ibadah Haji, selaras dengan peningkatan kos setiap tahun.
- Memansuhkan keperluan penyemakan baki dalam Akaun Simpanan Tabung Haji ahli bagi membolehkan ahli membuat perancangan dengan lebih baik sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Adakah Lembaga Tabung Haji (LTH) akan mengenakan penalti kepada ahli KWSP sekiranya menarik diri di saat akhir daripada pemergian Haji?
Tertakluk kepada syarat semasa yang ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).
Adakah simpanan yang dikeluarkan di bawah Pengeluaran Haji akan diberikan dividen?
Ahli yang membuat Pengeluaran Haji sebelum dividen tahunan diisytiharkan akan menerima bayaran pengeluaran yang terdiri daripada simpanan pokok sahaja. Dividen bagi simpanan yang dikeluarkan akan dikreditkan ke Akaun Sejahtera ahli setelah kadar dividen sebenar diisytiharkan.
Bagaimana ahli boleh menyemak status permohonan dan bayaran mereka?
Ahli KWSP boleh menyemak status permohonan dan bayaran mereka melalui saluran rasmi KWSP, iaitu:
- Aplikasi KWSP i‑Akaun atau portal web i-Akaun (Ahli)
- Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP
- Pejabat KWSP berdekatan
Siapa yang layak memohon Pengeluaran Haji?
Ahli KWSP yang layak memohon seperti berikut:
- Warganegara Malaysia
- Beragama Islam
- Berumur kurang daripada 55 tahun dan telah menerima surat tawaran berstatus ‘TERPILIH’ untuk mengerjakan Haji daripada Lembaga Tabung Haji (LTH)
- Mempunyai baki simpanan dalam Akaun Sejahtera
- Tidak pernah memohon Pengeluaran Haji
Adakah ahli layak memohon pengeluaran ini sekiranya pernah mengerjakan Haji sebelum Pengeluaran Haji diperkenalkan dan kemudian terpilih sekali lagi mengerjakan Haji selepas pengeluaran ini berkuatkuasa?
Ahli layak memohon sekiranya memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan. Walaubagaimanapun, Pengeluaran Haji KWSP hanya boleh dibuat sekali seumur hidup sahaja.
Adakah terdapat tempoh sahlaku surat tawaran berstatus ‘TERPILIH’ yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH)?
Surat tawaran Haji berstatus ‘Terpilih’ daripada Tabung Haji hanya sah untuk musim Haji yang dinyatakan dalam surat tawaran tersebut. Ahli perlu membuat permohonan Pengeluaran Haji dalam tempoh yang ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).
Mengapa ahli yang berumur 55 tahun ke atas tidak layak memohon Pengeluaran Haji?
Pengeluaran Haji tidak terpakai kepada ahli berumur 55 tahun ke atas kerana kemudahan ini diperuntukkan khusus untuk ahli di bawah usia 55 tahun.
Namun, bagi ahli yang telah mencapai usia 55 tahun, mereka boleh mengeluarkan simpanan KWSP pada bila-bila masa melalui Pengeluaran Umur 55 Tahun, sama ada sebahagian atau keseluruhan, mengikut peraturan yang ditetapkan. Dana ini boleh digunakan untuk menampung kos menunaikan Haji tanpa perlu momohon Pengeluaran Haji.
Bolehkah ahli membuat pengeluaran ini bagi membantu membiayai kos pemergian Haji untuk pasangan (suami isteri), ibu bapa atau anak-anak?
Tidak boleh. Pengeluaran ini terhad kepada bakal Haji ahli KWSP sahaja.
Bolehkah ahli KWSP mengeluarkan simpanan KWSP bagi tujuan membiayai kos keseluruhan menunaikan ibadah haji?
Tidak boleh. Pengeluaran Haji adalah untuk membiayai kos asas sahaja dan bukan kos keseluruhan mengerjakan Haji.
Bolehkah ahli yang menunaikan ibadah Haji secara Pakej memohon pengeluaran ini?
Boleh sekiranya ahli memenuhi semua syarat ditetapkan di bawah Pengeluaran Haji.
Adakah ahli yang telah membuat permohonan Pengeluaran Haji sebelum penambahbaikan ini dilaksanakan, layak memohon amaun tambahan selepas had baharu diumumkan?
Tidak. Ahli yang telah membuat permohonan Pengeluaran Haji sebelum penambahbaikan ini dilaksanakan adalah tidak layak untuk memohon amaun tambahan kerana Pengeluaran Haji hanya dibenarkan sekali seumur hidup sahaja. Had pengeluaran baharu RM10,000 hanya terpakai untuk permohonan baharu yang dibuat mulai Januari 2026.
Bagaimana untuk memohon Pengeluaran Haji dan apakah dokumen yang diperlukan?
Ahli perlu hadir di mana-mana pejabat KWSP dengan membawa dokumen-dokumen asal berikut:
- Kad Pengenalan Diri (MyKad/KP Polis/KP Tentera)
- Surat tawaran berstatus ‘TERPILIH’ daripada Lembaga Tabung Haji (LTH)"
Bilakah ahli boleh mengemukakan permohonan Pengeluaran Haji?
Permohonan ahli boleh dikemukakan apabila ahli telah menerima surat tawaran berstatus ‘TERPILIH’ daripada Lembaga Tabung Haji (LTH) untuk mengerjakan Haji bagi musim Haji semasa.
Berapa lamakah masa yang diambil oleh KWSP untuk meluluskan permohonan?
Permohonan Pengeluaran Haji yang lengkap akan diproses dan bayaran dibuat dalam masa tidak melebihi dari tujuh (7) hari bekerja selepas diterima oleh KWSP.
Adakah terdapat amaun minimum pengeluaran?
Tiada had amaun minimum ditetapkan bagi Pengeluaran Haji.
Berapakah amaun maksimum yang boleh dikeluarkan oleh ahli dari simpanan KWSP mereka?
Mulai Januari 2026, ahli KWSP boleh mengeluarkan maksimum RM10,000 atau baki Akaun Sejahtera (mengikut mana yang lebih rendah) untuk tujuan Pengeluaran Haji, tertakluk pada syarat kelayakan.
Adakah ahli perlu mengembalikan amaun pengeluaran kepada KWSP sekiranya membatalkan atau menangguhkan pemergian Haji?
Ya. Sekiranya pemergian Haji dibatalkan atau ditangguhkan, amaun Pengeluaran Haji yang tidak digunakan perlu dikembalikan semula kepada KWSP oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).
Apa berlaku sekiranya setelah pengeluaran KWSP dibuat, amaun simpanan dalam akaun Lembaga Tabung Haji (LTH) masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah keseluruhan kos Haji yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (LTH)?
Ahli bertanggungjawab memastikan simpanan Tabung Haji mencukupi untuk membayar kos penuh Haji seperti yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (LTH). Jika simpanan tidak mencukupi, boleh menyebabkan tawaran Haji dibatalkan dan terlepas peluang untuk musim tersebut.
Sekiranya ahli tidak terpilih atau tawaran dibatalkan, amaun pengeluaran KWSP yang telah dibuat mesti dikembalikan semula kepada KWSP oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).
Sekiranya ahli layak membuat pengeluaran maksimum RM10,000, bolehkah ahli memohon amaun pengeluaran lebih rendah?
Ahli dibenarkan untuk menentukan sendiri amaun pengeluaran. Bagaimanapun, ianya tertakluk kepada amaun maksimum RM10,000 atau baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mengikut mana yang lebih rendah.
Artikel Berkaitan
Bacaan tambahan untuk anda
Maklumat Tambahan



