5 Sebab Anda Perlu Menyimpan Duit

5 Sebab Anda Perlu Menyimpan Duit
Article Image

“Wah, murahnya baju ni! Ada Sale!”

“Diskaun 50%!”

“Beli 1 percuma 1! Beli sekarang sementara promosi masih ada”

Adakah anda biasa lihat iklan pemasaran seperti di atas? 

Kami akui, strategi pemasaran seperti ini sebenarnya sangat berkesan. Siapa sahaja yang tidak tertarik dengan jualan murah atau barangan promosi begini? 

Hal ini menjadikan tabiat menyimpan duit sangat penting. Anda perlu mempunyai kawalan diri dan tahu membezakan antara keperluan dan kehendak. Hanya beli apa yang anda benar-benar perlukan sahaja, jika tidak, anda akan melakukan pembaziran dengan alasan bahawa membeli barang sewaktu promosi adalah satu penjimatan.
 


Ada banyak faktor mengapa anda perlu menyimpan wang. Untuk membantu anda memahami kepentingannya, berikut adalah lima (5) sebab utama kenapa menyimpan itu lebih baik berbanding berbelanja tanpa kawalan.

1. Untuk ketenangan jiwa

back chevron

Apabila anda mempunyai simpanan duit simpanan tersebut boleh membantu di saat kecemasan atau untuk keperluan yang tidak dijangka. Secara tidak langsung, menyimpan wang boleh mengurangkan kebimbangan anda berkaitan situasi seperti:

“Bagaimana jika saya jatuh sakit?” 

“Apa jadi kalau orang yang saya sayang jatuh sakit? Bolehkah saya menanggung kos perubatan mereka?”

Inilah sebabnya kenapa perlu ada simpanan, bukan sekadar untuk keperluan masa susah, malah membantu sekiranya terdapat keperluan mendesak untuk rawaran kesihatan. Secara tidak langsung, ia akan memberi ketenangan jiwa kepada anda dan tidak menyebabkan anda merasa terbeban dalam jangka masa panjang.


2. Untuk mencapai matlamat dan impian anda

back chevron

Ramai antara kita mengimpikan untuk mempunyai duit tambahan demi mengejar impian masing-masing. Contohnya ada yang menyimpan untuk berkahwin, memiliki sebuah rumah atau mungkin melancong keluar negara, setiap impian memerlukan duit untuk dijadikan kenyataan.

Dengan mempunyai simpanan yang melebihi keperluan, anda akan merasa lebih bebas untuk berbelanja dan menjalani kehidupan seharian mengikut apa yang anda inginkan. Tetapi perlu ada dalam diri setiap individu kesedaran bahawa anda perlu berbelanja mengikut kemampuan bukan mengikut nafsu. Duit simpanan boleh membantu mengelakkan anda berhutang dari penggunaan kad kredit atau pinjaman peribadi tanpa sebarang keperluan yang mendesak. 


3. Untuk mendapatkan fleksibiliti dalam kerjaya

back chevron

Adakah anda bercita-cita untuk menukar kerjaya seperti memulakan syarikat perniagaan sendiri atau menjadi ‘influencer’ media sosial? Keputusan untuk menukar kerjaya adalah satu pilihan yang berisiko tinggi kerana ianya berpotensi untuk mengubah masa depan anda.

Oleh itu, perubahan sedemikian memerlukan asas kewangan yang kukuh sebagai jaring keselamatan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak dirancang. Simpanan anda akan berfungsi sebagai sokongan kewangan yang kukuh, memperkasakan anda mengambil risiko untuk mengejar impian anda dengan yakin.


4. Untuk kesejahteraan masa depan keluarga

back chevron

Keinginan untuk memberikan yang terbaik untuk keluarga anda, terutamanya untuk anak-anak, menjadi pendorong yang tinggi untuk mula menyimpan. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, pasti anda ingin memberikan mereka keperluan yang lengkap.

Dengan membina asas kewangan yang kukuh, anda boleh membiayai masa depan pendidikan anak-anak, membeli insurans hayat dan perlindungan perubatan atau memulakan perniagaan keluarga yang boleh memberi manfaat kepada mereka dalam jangka masa panjang.


5. Untuk menjamin masa depan persaraan anda

back chevron

Dengan peningkatan jangka hayat semasa bagi rakyat Malaysia kepada 75 tahun, anda sangat digalakkan untuk menyimpan dengan lebih awal. Untuk bersara dengan pendapatan RM2,500 sebulan selama 20 tahun, anda perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM600,000 pada usia 55 tahun. 

Itulah sebabnya anda harus mula menyimpan sekarang kerana lebih baik bermula awal untuk memastikan masa depan persaraan anda. 

Fakta menarik: Tahukah anda, selain caruman bulanan berkanun, anda juga boleh membuat caruman sukarela melalui aplikasi KWSP i-Akaun menggunakan Caruman Sukarela (VC)?

Menariknya, anda boleh menyimpan dengan serendah RM10, dan anda dibenarkan untuk menyimpan sehingga RM100,000 setahun. 

Dengan Caruman Sukarela, menyimpan untuk persaraan dan mencapai matlamat kewangan persaraan boleh menjadi lebih mudah.


Top-Up Simpanan Saya Sekarang!

Merancang perbelanjaan kewangan adalah perkara yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan seseorang bagi memastikan anda dapat membina kehidupan sejahtera. Dengan menyimpan secara bijak dan konsisten, anda juga boleh mengembangkan simpanan anda melalui pembayaran dividen tahunan atau pilihan pelaburan lain.

Ingatlah pepatah, ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’. Jadi jangan teragak-agak untuk mula menyimpan mulai hari ini!