Tabiat Perbelanjaan Yang Patut Anda Elak Di Usia Muda

3 Tabiat Perbelanjaan Yang Patut Anda Elak Di Usia Muda
Article Image

Usia awal 20-an sering dikaitkan dengan permulaan kehidupan di alam dewasa, suatu masa untuk menempuhi tanggungjawab dan menikmati kebebasan. Ia merupakan satu saat yang membahagiakan kerana buat kali pertama anda memperoleh gaji pertama setelah mula bekerja.  

Tidak dinafikan pendapatan yang diperolehi mempengaruhi kedudukan kewangan peribadi, namun semuanya bergantung terhadap cara anda menguruskan duit. Pengurusan kewangan merupakan salah satu aspek yang boleh dikawal. Sekiranya ingin mempersiapkan diri untuk kewangan masa hadapan yang lebih kukuh, pengurusan kewangan yang baik perlu ada dalam diri anda. 

Untuk berada di landasan kewangan yang baik, anda boleh mula dengan mengelakkan tiga tabiat ini:

1. Berbelanja di luar kemampuan

back chevron

Tidak dinafikan, anda mesti ada perasaan gembira bila pertama kali terima gaji. Apatah lagi jika anda sudah lama mempunyai keinginan untuk membeli sesuatu barang. 

“Barang limited edition, kalau tak beli nanti tak ada dah” 
“Siapa yang beli kasut tu memang ‘cool’ la”

Ungkapan tersebut sering digunakan  bila anda ingin membeli sepasang kasut yang menjadi bualan di media sosial. Tanpa anda sedar, anda juga sudah menjadi mangsa inflasi gaya hidup, di mana anda mula berbelanja secara berlebihan apabila gaji meningkat.
 

Apa yang anda boleh lakukan?

Salah satu cara yang efektif adalah dengan melatih diri untuk membezakan antara kehendak dan keperluan ketika berbelanja. Elakkan daripada membuat perbelanjaan secara tidak berhemat, cuba fikir sama ada anda perlukan barang itu ataupun tidak. Bila anda berfikir sebelum bertindak, anda semestinya akan mengutamakan barangan keperluan berbanding menghabiskan duit untuk barangan yang tidak diperlukan.

Cuba bayangkan: anda berada di dalam kedai sedang memerhatikan peranti canggih terkini atau baju berjenama. Sebelum membuat keputusan untuk beli, cuba ambil masa sebentar untuk menilai adakah barang tersebut keperluan atau kehendak. Tanya diri, “betul ke nak beli ni, ke sebab suka dengan corak dia je?” Anda pasti terkejut bila tersedar berapa banyak perbelanjaan boros yang boleh dielakkan jika anda mengambil masa sebentar sebelum melakukan pembelian.


2. Mengabaikan kepentingan belanjawan

back chevron

Ramai generasi muda kini terlepas pandang kepentingan menyediakan bajet dan memilih untuk membelanjakan duit mereka sewenang-wenangnya tanpa berasa risau tentang kedudukan kewangan mereka pada masa akan datang. Ini adalah tabiat berbelanja yang tidak berhemah, tambah pula dengan kewujudan sistem hutang BNPL atau dalam bahasa lain, ‘bayar kemudian’. 

Sekiranya anda merupakan golongan remaja yang belum didedahkan dengan kesan penggunaan fungsi ini, anda mempunyai risiko untuk mudah terjerat dengan hutang BNPL. Kebanyakan syarikat sudah mula mengimplimentasi fungsi ini untuk meningkatkan jualan barangan mereka dengan cara memperdayakan anda dengan kebolehan membeli barangan berjenama yang mahal dengan bayaran secara ansuran. Sekiranya kerapkali menggunakan kaedah hutang sebegini, ia akan mewujudkan satu tabiat buruk untuk pengurusan kewangan yang akan memberi impak negatif dalam tempoh jangka masa panjang sekiranya sikap tersebut tidak diubah dalam diri anda.

Ramai golongan muda diisytihar muflis kerana mereka telah berhutang dengan jumlah yang tinggi dan tidak dapat membayar semula hutang yang dipinjam pada masa yang ditetapkan. Ini menyebabkan nama mereka disenarai hitam dan menyukarkan proses membuat pinjaman pada masa hadapan.
 

Apa yang anda boleh lakukan?

Merancang perbelanjaan mengikut jumlah pendapatan yang diterima atau merangka bajet dan mengikuti bajet yang telah ditetapkan merupakan satu idea yang bijak. Ia membolehkan anda merancang dan mengesan arah perbelanjaan bulanan dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu serta mencapai matlamat kewangan dengan lebih efektif. 

Sekiranya anda baru mula merancang perbelanjaan dan berminat untuk menguruskan bajet secara dalam talian, aplikasi Belanjawanku daripada KWSP merupakan aplikasi yang sangat berguna untuk anda. Ia bukan sahaja membantu untuk mengkategorikan serta memantau perbelanjaan bulanan dan tahunan anda, malah menjadi panduan untuk menguruskan kos sara hidup anda. 

Aplikasi ini juga membolehkan anda untuk membandingkan perbelanjaan dengan bajet yang dicadangkan, memberikan gambaran yang lebih jelas untuk membuat keputusan kewangan. Padat dengan cara untuk menambah baik pengurusan kewangan peribadi, Belanjawanku merupakan aplikasi yang sangat dipercayai dan dapat membantu untuk membuat keputusan yang baik berkaitan urusan kewangan anda. 

Aplikasi tersebut boleh dimuat turun di Apple App StoreGoogle Play Store dan Huawei App Gallery.


3. Mengabaikan keperluan untuk menyimpan

back chevron

Selain daripada membina simpanan untuk masa depan, ia juga boleh memberi manfaat perlindungan sekiranya sesuatu berlaku kepada anda. Tanpa usaha membina tabung kecemasan atau pelan kewangan yang rapi, anda mungkin mempunyai risiko tinggi untuk terdedah kepada perkara yang tidak diingini seperti perbelanjaan perubatan atau kos rawatan yang tinggi, kehilangan pekerjaan, atau beban kewangan lain yang tidak dijangka. Oleh itu, sama ada 3%, 5%, atau 10% – memperuntukkan sebahagian daripada gaji anda untuk disimpan adalah satu tindakan yang bijak.

Tahukah anda bahawa terdapat konsep simpanan 45/35/20? Konsep ini merupakan satu kaedah yang disyorkan oleh pakar kewangan untuk menguruskan kewangan anda dengan cekap. Begini caranya, bahagikan gaji bersih yang diperoleh kepada tiga bahagian — 45% diperuntukan untuk keperluan, 30% pula untuk komitmen dan 20% untuk simpanan. Sebagai permulaan, anda boleh bermula untuk menyimpan sebanyak 5%.
 
Anda perlu ingat, apa-apa jumlah yang lebih besar dari nilai kosong adalah langkah permulaan yang baik. Walaupun nilainya sedikit, jangan hilang semangat. Pegang dengan peribahasa ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’ kerana dengan menyimpan secara konsisten, kedudukan kewangan anda akan menjadi semakin baik dan anda dapat meningkatkan simpanan secara berperingkat.

 

Apa yang anda boleh lakukan?

Salah satu cara yang anda boleh pertimbangkan ialah membuka akaun simpanan berasingan khas untuk tujuan penyimpanan tertentu. Gunakan fungsi proses secara automatik untuk menjadualkan pemindahan duit ke dalam akaun tersebut. Dengan ini, anda telah mewujudkan satu akaun simpanan alternatif dan boleh melihat simpanan berkembang, perasaan selamat dan tenang akan wujud dalam diri.

Menariknya, anda boleh membuat simpanan secara sukarela ke akaun KWSP melalui ciri Caruman Sukarela di mana ia memudahkan anda untuk meningkatkan simpanan secara proaktif, walaupun hanya dengan jumlah serendah RM10! Ini merupakan peluang yang baik untuk menyelia kewangan anda pada masa akan datang dan melihat simpanan berkembang.


Untuk memastikan kewangan yang kukuh serta masa hadapan yang terjamin, adalah satu tindakan yang terbaik untuk anda mengamalkan perbelanjaan yang berhemat. Anda perlu mengawal diri serta peka tentang pengurusan aliran tunai anda. Proses menyimpan duit adalah penting untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat umur, lebih-lebih lagi bagi anda yang berumur 20-an kerana perjalanan untuk mencapai persaraan yang selesa dan terjamin bermula dari sekarang.