Date: 01 Apr 2020
KWSP Umum Senarai Dana Unit Amanah Yang Dikemaskini Untuk 2020/2021

KUALA LUMPUR, 1 April 2020:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Senarai Kelayakan Tahunan Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana-dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) berkuatkuasa hari ini.

Bagi tempoh 2020/2021, sebanyak 376 dana daripada 20 IPD telah diluluskan di bawah SPA KWSP, di mana hanya 280 dana layak ditawarkan kepada ahli KWSP. Daripada jumlah tersebut, 202 dana (72 peratus) adalah dana tempatan di mana 101 dana (50 peratus) adalah dana ekuiti.

Ketua Pegawai Pelaburan KWSP Rohaya Mohammad Yusof berkata, “Setiap tahun, KWSP akan menilai dana unit amanah ini berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan, yang juga diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Langkah ini bertujuan memastikan hanya dana yang mempunyai prestasi yang baik akan ditawarkan kepada ahli.”

“Berikutan ketidakpastian pasaran untuk tahun ini, KWSP memutuskan untuk mengekalkan Purata Mudah Untuk Pulangan Konsisten (Simple Average Rating for Consistent Returns) atau SACR pada 2.33. Skor ini akan dikaji semula dan dikemaskini kepada skor yang lebih tinggi pada masa hadapan sekiranya perlu.” 

Pengiraan SACR adalah  berdasarkan purata bagi prestasi dana sepanjang tiga tahun tempoh penilaian menggunakan Penarafan Lipper untuk Pulangan Konsisten. Dana unit amanah yang berada  di bawah skor kelayakan minimum akan digantung daripada ditawarkan dalam tempoh ini.
 
Jadual 1: Senarai Dana dan IPD Mengikut Kategori
 

Kategori Dana

2019/2020
(Sehingga 31 Mac 2020)

2020/2021
(Berkuatkuasa 1 April 2020)

Dana Yang Layak Ditawarkan IPD Dana Yang Layak Ditawarkan IPD
Equiti 158 17 161 19
Aset Campuran 72 15 64 15
Bon 30 9 29 9
Pasaran Wang 27 17 25 17
Amanah Hartanah 1 1 1 1
  288 - 280 -

 

SPA KWSP diperkenalkan sebagai pilihan untuk ahli melaburkan sehingga maksimum 30 peratus daripada lebihan jumlah simpanan di dalam Akaun 1 mereka tertakluk kepada kelayakan berdasarkan Kuantum Baharu Simpanan Asas ahli (rujuk Jadual 2).

Rohaya menambah, “Ahli juga kini boleh melabur di platform i-Invest melalui i-Akaun. Sejak i-Invest dilancarkan pada September 2019, lebih 15,000 transaksi bernilai RM127 juta telah direkodkan setakat 28 Februari 2020.”

Kemudahan i-Invest memperkasakan ahli untuk membuat keputusan pelaburan yang bijak dengan kos rendah. Antara ciri-ciri i-Invest termasuk paparan keseluruhan pelaburan ahli, kelayakan jumlah pelaburan dan perbandingan antara dana. Ahli yang berusia 55 tahun ke atas juga boleh melabur melalui platform ini.

“Dalam keadaan pasaran semasa yang tidak menentu, ahli harus berpegang kepada strategi pelaburan jangka panjang dan pada masa yang sama mencari peluang pelaburan yang menguntungkan. Ciri-ciri yang ditawarkan oleh i-Invest boleh membantu ahli untuk memantau pelaburan mereka ataupun membuat pelaburan ketika pasaran semasa sedang menurun.”
 
Walaupun KWSP mempunyai garis panduan yang harus dipatuhi oleh IPD, ahli amat digalakkan untuk membuat kajian terperinci atau mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan yang bertauliah sebelum menyertai skim ini. Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana ini, ianya bukan merupakan cadangan atau pengesahan untuk ahli melabur ke dalam mana-mana dana tertentu.

Untuk mendapatkan senarai penuh dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh rujuk laman sesawang KWSP di https://www.kwsp.gov.my/ms/ahli/simpanan/i-invest

Jadual 2: Kuantum Baharu Simpanan Asas Berdasarkan Umur

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
1 April 2020

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.