Memulakan sesuatu pelaburan merupakan satu langkah yang baik. Bagi pelabur baharu, cabaran terbesar bukanlah memilih pelaburan yang “salah” pada hari pertama. Sebaliknya, cabaran itu ialah mengelakkan kesilapan lazim yang boleh menjejaskan keyakinan, pulangan dan kestabilan kewangan dalam jangka panjang.
Hakikatnya, pulangan pelaburan yang kurang memuaskan sering berpunca daripada tingkah laku pelabur dan bukan disebabkan pemilihan pelaburan semata-mata. Kebanyakan kesilapan yang dilakukan oleh pelabur baharu merupakan perkara yang lazim berlaku, malah boleh dijangka dan dielakkan.
Berikut ialah empat kesilapan yang paling kerap dilakukan oleh pelabur baharu serta langkah yang boleh diambil untuk mengelakkannya.
Mengejar trend pelaburan
Ini merupakan antara kesilapan yang sering dilakukan oleh pelabur baru.
Apabila sesuatu dana menunjukkan prestasi yang baik, ramai mula memperkatakannya dan dana tersebut dilihat sebagai pilihan yang paling tepat. Namun, apabila ramai pelabur mula menyedari sesuatu pelaburan yang sedang mencatatkan prestasi cemerlang, mereka mungkin hanya mula melabur selepas harga atau nilainya meningkat dengan ketara.
Keadaan ini boleh mewujudkan tabiat pelaburan yang kurang baik: iaitu membeli berdasarkan prestasi terkini dan bukannya kesesuaian jangka panjang. Pasaran tidak bergerak secara linear. Pelaburan yang memberikan pulangan yang baik pada tahun lalu tidak semestinya akan memberikan pulangan yang sama pada tahun berikutnya. Apabila pelabur mengejar prestasi semasa, mereka berisiko membeli pada harga yang tinggi dan akan kecewa apabila prestasi mula merosot atau menjadi negatif.
Pendekatan yang lebih baik adalah dengan mengambil masa untuk menilai sama ada pelaburan tersebut benar-benar sesuai dengan matlamat, tempoh pelaburan dan tahap toleransi risiko anda. Pulangan semasa yang tinggi mungkin kelihatan menarik, tetapi iaidak seharusnya menjadi satu-satunya sebab untuk melabur.
Melabur sekali dan tidak memantau pelaburan
Satu lagi kesilapan yang sering berlaku ialah menganggap pelaburan sebagai transaksi sekali sahaja (one-off transaction).
Sesetengah pelabur baharu melaburkan sejumlah wang sekali gus dan menganggap tugas mereka telah selesai. Mereka mungkin membiarkan pelaburan tersebut untuk tempoh yang lama tanpa memantau sama ada pelaburan itu masih sesuai dengan keperluan mereka, masih memberikan prestasi yang memuaskan, atau masih selaras dengan matlamat pelaburan mereka.
Keadaan ini boleh menjejaskan pulangan dalam beberapa cara. Jika pelaburan dibuat pada waktu yang kurang sesuai, prestasinya mungkin mengecewakan sejak awal lagi. Pada masa yang sama, fi dan caj tahunan mungkin terus dikenakan, sekali gus mengurangkan pulangan pelaburan dari tahun ke tahun walaupun pelaburan tersebut tidak mencapai hasil yang diharapkan.
Membuat pelaburan sekali sahaja bukanlah satu kesalahan. Sebaliknya, kesilapan berlaku apabila pelaburan tersebut tidak dipantau secara berkala. Tanpa semakan berkala, pelabur mungkin terus memegang pelaburan yang tidak lagi sesuai untuk tempoh yang terlalu lama dan melihat pulangan mereka berkurangan akibat prestasi yang lemah serta caj yang berterusan.
Meletakkan semua wang dalam satu pelaburan
Sesetengah pelabur baharu meletakkan terlalu banyak wang dalam satu dana, saham atau jenis aset tertentu kerana percaya ia dapat memberikan pulangan yang lebih tinggi. Hakikatnya, tindakan ini biasanya meningkatkan risiko pelaburan.
Jika pelaburan tersebut menunjukkan prestasi yang kurang baik, kesannya terhadap keseluruhan pelaburan tersebut boleh menjadi sangat besar. Sebab itulah mempelbagaikan pelaburan atau diversification amat penting. Dengan meletakkan wang dalam pelbagai jenis pelaburan yang berbeza, langkah ini dapat membantu mengurangkan kerugian akibat sesuatu pelaburan atau sektor pasaran yang mencatat prestasi kurang baik.
Kepelbagaian pelaburan tidak bermaksud pelabur perlu melabur dalam semua instrumen yang ada. Sebaliknya, ia bertujuan untuk tidak terlalu bergantung kepada satu jenis pelaburan sahaja.
Membiarkan emosi mempengaruhi keputusan pelaburan
Pelaburan bukan sekadar memilih pelaburan yang sesuai. Cara anda bertindak selepas melabur juga memainkan peranan penting. Ramai pelabur baharu mula membeli dana apabila harga sedang meningkat kerana berasa teruja atau takut terlepas peluang (fear of missing out (FOMO)). Apabila harga dana tersebut mula menurun, mereka menjadi risau dan terus menjual pelaburan mereka.
Tindakan ini boleh menjejaskan pulangan pelaburan dalam jangka panjang. Pasaran sememangnya mengalami turun naik dari semasa ke semasa. Namun, jika setiap keputusan dibuat berdasarkan rasa takut, keterujaan atau panik, tindakan yang diambil cenderung bersifat reaktif dan bukannya berlandaskan disiplin.
Pelaburan yang dipengaruhi emosi sering menyebabkan pelabur membeli pada harga yang tinggi dan menjual pada harga yang rendah, iaitu keadaan yang bertentangan dengan prinsip asas pelaburan.
Bagaimana pelabur baharu boleh mengelakkan kesilapan ini?
Kesilapan-kesilapan ini memang lazim berlaku, tetapi boleh dielakkan. Pelabur baharu boleh mengambil beberapa langkah praktikal untuk mengurangkan risiko membuat keputusan yang kurang tepat. Pendekatan yang lebih berdisiplin, digabungkan dengan semakan pelaburan secara berkala serta rujukan kepada alat bantuan yang sesuai, dapat membantu pelabur membuat keputusan yang lebih baik dari semasa ke semasa.
1. Bina pelaburan secara berperingkat
Percubaan untuk melabur pada “masa yang paling sesuai” boleh mewujudkan tekanan yang tidak perlu kepada kebanyakan pelabur baharu. Sesetengah daripada mereka akan menangguhkan pelaburan kerana keadaan pasaran yang tidak menentu, manakala ada juga yang melaburkan jumlah yang besar hanya apabila keyakinan terhadap pasaran berada pada tahap tinggi. Dalam kedua-dua situasi ini, keputusan yang dibuat mungkin lebih dipengaruhi oleh emosi berbanding disiplin.
Salah satu cara untuk menguruskan perkara ini ialah melalui strategi pelaburan berkala (dollar-cost averaging). Kaedah ini melibatkan pelaburan dalam jumlah yang lebih kecil secara konsisten dari semasa ke semasa dalam satu tempoh tertentu berbanding melaburkan sejumlah besar wang pada satu masa.
Dengan membuat pelaburan secara berkala merentasi pelbagai keadaan pasaran, anda dapat mengurangkan tekanan untuk menentukan masa yang paling tepat untuk membuat pelaburan.
Sebagai contoh, daripada melabur RM12,000 sekali gus, seorang pelabur boleh memilih untuk melabur RM1,000 setiap bulan selama 12 bulan. Jika harga pasaran naik dan turun dalam tempoh tersebut, pelabur akan membeli pada pelbagai paras harga dan tidak bergantung kepada satu titik permulaan pelaburan sahaja.
Pendekatan ini tidak menghapuskan risiko dan tidak menjamin keuntungan. Namun, ia dapat membantu pelabur baharu membentuk tabiat pelaburan yang konsisten, mengurangkan keputusan yang dipengaruhi emosi, serta mengelakkan risiko melaburkan jumlah yang besar pada masa yang kurang sesuai.
2. Semak pelaburan secara berkala dan manfaatkan kemudahan yang disediakan
Proses pelaburan tidak sepatutnya berakhir selepas transaksi dibuat. Pelabur baharu perlu membiasakan diri menyemak pelaburan mereka dari semasa ke semasa, bukan untuk bertindak balas terhadap setiap pergerakan pasaran, tetapi untuk memastikan keputusan pelaburan yang dibuat masih relevan. Ini termasuk membuat penilaian sama ada pelaburan tersebut masih selaras dengan matlamat pelaburan mereka, sama ada tahap risiko yang sanggup mereka ambil telah berubah, dan sama ada pelaburan tersebut masih memberikan prestasi yang memenuhi jangkaan mereka.
Sekiranya pelaburan dibuat melalui bank, platform unit amanah atau ejen, manfaatkan kemudahan pemantauan yang disediakan dan lakukan semakan berkala bersama penasihat atau ejen pelaburan anda. Jangan menganggap semua perkara diuruskan secara automatik tanpa pemantauan anda sendiri.
Manfaatkan kemudahan i-Invest
Bagi ahli KWSP yang melabur melalui Skim Pelaburan Ahli (SPA), kemudahan i-Invest menerusi aplikasi KWSP i-Akaun atau portal web i-Akaun (Ahli) dapat membantu memudahkan proses ini. Dengan menggunakan ciri-ciri i-Invest untuk memantau pegangan dan prestasi pelaburan, membandingkan dana yang tersedia serta menilai pilihan pelaburan yang ada, ahli dapat membuat keputusan yang lebih termaklum dan mengekalkan kawalan yang lebih baik terhadap pelaburan mereka.



