Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ditubuhkan pada tahun 1951 merupakan sebuah organisasi keselamatan sosial yang utama di Malaysia berperanan untuk menyediakan faedah persaraan kepada semua ahlinya. Baru-baru ini, KWSP telah mengumumkan inisiatif penstrukturan semula akaun ahli daripada dua (2) kepada tiga (3) akaun: Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Inisiatif ini bertujuan untuk memberdayakan ahli supaya lebih yakin untuk menguruskan kewangan mereka dengan mengukuhkan simpanan persaraan, menyesuaikan matlamat kewangan mengikut peringkat kehidupan yang berbeza, membantu ahli menghadapi perubahan landskap pekerjaan serta menangani keperluan kewangan semasa demi kesejahteraan jangka panjang.
Apakah yang dimaksudkan dengan penstrukturan semula akaun KWSP?
Penstrukturan semula akaun KWSP adalah bertujuan memperkukuh jaminan pendapatan persaraan dan memenuhi keperluan kitaran hayat ahli. Di bawah inisiatif ini, akaun ahli akan distrukturkan semula daripada dua (2) akaun kepada tiga (3) akaun:
- Akaun Persaraan (sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1): Akaun ini dikhaskan untuk simpanan persaraan dan pelaburan anda.
- Akaun Sejahtera (sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2): Akaun ini merangkumi keperluan pra-persaraan anda di mana anda boleh mengeluarkan sebahagian daripada simpanan ini untuk tujuan tertentu (Perumahan, Pendidikan, Kesihatan, Perlindungan Insurans/Takaful, Haji, Umur 50 Tahun).
- Akaun Fleksibel (Akaun 3): Akaun baharu yang diwujudkan untuk membolehkan ahli mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa bagi memenuhi keperluan yang mendesak.
Mulai 11 Mei 2024, caruman baharu akan diagihkan mengikut peratusan seperti berikut:
Penstrukturan semula ini hanya melibatkan akaun KWSP ahli yang belum mencapai umur 55 tahun (termasuk ahli bukan warganegara) pada 11 Mei 2024. Bagi ahli yang telah berumur 55 tahun dan ke atas, tiada perubahan akan dibuat pada struktur akaun sedia ada (Akaun 55 dan Akaun Emas).
Setelah penstrukturan semula akaun dilaksanakan, baki sedia ada dalam Akaun 1 dan Akaun 2 akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera masing-masing. Sementara itu, Akaun Fleksibel akan bermula dengan RM0.
Simpanan di Akaun Fleksibel akan bertambah apabila caruman baharu dikreditkan atau melalui pilihan pindahan amaun permulaan.
Apa itu Akaun Fleksibel?
Akaun Fleksibel diperkenalkan untuk memenuhi keperluan kewangan jangka pendek ahli. Simpanan dalam Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan sekali dalam sehari, dengan jumlah pengeluaran minimum sebanyak RM50 sehari.
Walaupun diberikan kebebasan untuk mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa, disarankan kepada ahli untuk menggunakan peluang ini secara bijaksana dan berhemat, serta memberi keutamaan kepada keperluan kecemasan dan mendesak untuk memastikan kemampanan kewangan jangka panjang.
Pengeluaran Akaun Fleksibel tertakluk kepada syarat-syarat yang berikut:
- Belum mencapai umur 55 tahun.
- Mempunyai simpanan dalam Akaun Fleksibel.
Had pengeluaran minimum ialah RM50.
Ahli boleh memilih untuk membuat pindahan amaun permulaan mulai 12 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024. Bagaimanapun, pilihan ini hanya boleh dibuat sekali sahaja sepanjang tempoh tersebut dan tidak boleh dibatalkan.
Penentuan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel pula adalah tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera pada tarikh permohonan mengikut senario berikut.
Senario pindahan amaun permulaan
Ahli mempunyai baki simpanan sebanyak RM3,000 ke atas dalam Akaun Sejahtera:
- Sepuluh per tiga puluh (10/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
- Lima per tiga puluh (5/30) daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan.
- Lima belas per tiga puluh (15/30) akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera
Pindahan simpanan jika baki dalam Akaun Sejahtera adalah kurang dari RM3,000:
- Bagi Akaun Sejahtera dengan baki simpanan melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, sejumlah RM1000 akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel manakala bakinya kekal dalam Akaun Sejahtera.
- Bagi Akaun Sejahtera dengan simpanan sebanyak RM1,000 dan ke bawah, keseluruhan amaun akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
- Tiada pindahan akan dibuat ke Akaun Persaraan jika baki dalam Akaun Sejahtera kurang dari RM3,000.
Inisiatif ini menyediakan satu pendekatan yang sistematik bagi ahli untuk menguruskan simpanan mereka, sambil menjanjikan fleksibiliti dan pengagihan yang disesuaikan mengikut keperluan kewangan unik setiap ahli. Untuk memudahkan ahli membuat pilihan pindahan amaun permulaan, permohonan boleh dibuat melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau Self-Service Terminal (SST) di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara.
Apa berlaku jika ahli tidak membuat pindahan amaun permulaan?
Sekiranya ahli tidak membuat pindahan amaun permulaan, baki simpanan sedia ada akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera. Selepas tarikh pelaksanaan, semua caruman baharu akan dikreditkan ke dalam ketiga-tiga akaun iaitu Akaun Persaraan (75%), Akaun Sejahtera (15%), dan Akaun Fleksibel (10%).
Pengeluaran simpanan dari akaun KWSP ahli adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada. Sebagai maklumat tambahan, pindahan amaun permulaan akan dikreditkan ke dalam Akaun Fleksibel dalam tempoh 3 hingga 5 hari bekerja selepas permohonan diluluskan.
Bolehkah simpanan dalam Akaun Fleksibel dipindahkan ke Akaun Sejahtera atau Akaun Persaraan?
Ya, ahli boleh mohon untuk pindahkan simpanan seperti berikut:
- Akaun Fleksibel ke Akaun Sejahtera
- Akaun Fleksibel ke Akaun Persaraan
- Akaun Sejahtera ke Akaun Persaraan
Anda boleh rujuk ilustrasi di bawah untuk penjelasan lanjut:
Setelah pindahan dibuat, simpanan anda tidak boleh dikembalikan semula ke akaun asal. Pindahan simpanan dari Akaun Persaraan ke Akaun Sejahtera dan/atau Akaun Fleksibel juga tidak dibenarkan kerana Akaun Persaraan dikhususkan untuk simpanan persaraan.