Tip Sambut Deepavali (Sambil Jimat Belanja!)

Raikan Deepavali Dengan Bijak Berbelanja
Article Image

Lorong-lorong di Little India kini kembali meriah — haruman manisan berlemak ghee semerbak di udara, kilauan sari berwarna-warni memukau pandangan, dan alunan muzik perayaan bergema dari setiap penjuru. Inilah tandanya, Deepavali sudah tiba!

Di Malaysia, sambutan Deepavali bagaikan pesta pancaindera — penuh warna, rasa, aroma dan irama yang menghidupkan suasana. Namun, dalam keterujaan memilih pakaian baharu, menyediakan juadah istimewa, menghias rumah dan membeli hadiah, perbelanjaan boleh cepat melambung tinggi jika tidak dirancang dengan bijak.

Tapi hakikatnya, sambutan yang benar-benar bermakna tidak semestinya memerlukan belanja yang besar. Dengan sedikit perancangan dan kreativiti, anda boleh menikmati pesta cahaya ini sepenuhnya tanpa tekanan kewangan.

Bagaimana merancang bajet menyambut Deepavali di Malaysia?

Cuba bayangkan bajet Deepavali seperti melukis kolam: mula dengan bentuk asas, iaitu jumlah bajet keseluruhan. Kemudian, bahagikan bajet itu kepada kategori seperti pakaian, makanan dan hiasan — senaraikan semuanya, ibarat mewarnakan setiap ruang dalam corak kolam. Tetapkan had perbelanjaan agar anda tidak terjebak dengan “alah, beli je lah” yang akhirnya menambah beban.

Tip: Gunakan panduan Belanjawanku untuk membantu anda menentukan perbelanjaan yang wajar, supaya anda dapat utamakan keperluan seperti persiapan sembahyang di kuil dan jamuan keluarga sebelum berbelanja untuk perkara tambahan.

Baca juga: Panduan Mudah Kaedah Bajet 50/30/20

Tip bijak berbelanja menjelang Deepavali

Pernah meredah Jalan Masjid India seminggu sebelum Hari Deepavali? Kalau pernah, mesti anda tahu suasananya yang hiruk-pikuk — macam medan perang untuk pembeli saat akhir. Harga barangan mula melambung, pilihan pula semakin terhad, dan godaan membeli ada di setiap sudut.    

Daripada pening kepala di saat akhir, lebih baik rancang awal dan belanja dengan bijak. Apa yang boleh anda lakukan?

Wanita pakaian tradisional ungu-merah jambu berfikir dengan gelembung lampu, kalungan bunga dan hadiah.

 

  • Buat senarai semak untuk berbelanja (dan ikut betul-betul!).
  • Bandingkan harga barangan di bazar, pasar raya dan dalam talian untuk dapatkan pilihan yang berbaloi.
  • Sokong peniaga tempatan — membeli hiasan seperti pelita tanah liat buatan tangan dan serbuk kolam tradisional bukan sahaja menambah seri perayaan, malah membantu perniagaan mereka terus hidup dan berkembang.

Raikan Deepavali tanpa perlu berbelanja besar

Tidak sah sambutan Deepavali kalau tidak ada makanan, kan? Muruku yang rangup, laddu yang manis, kari kambing yang lemak berempah dan pekat kuahnya — makanan memang nadi perayaan. Tapi hendak menjamu tetamu di hari perayaan tidak semestinya kena berbelanja besar. 

Berikut beberapa cara mudah yang boleh anda cuba: 

Keluarga ceria pakaian tradisional berkumpul makan manisan India di meja, suasana perayaan.

 

  • Juadah bawaan (potluck): Galakkan tetamu membawa hidangan istimewa masing-masing untuk dikongsi bersama.
  • Masak sendiri: Masakan air tangan sendiri selalunya lebih sedap dan menjimatkan berbanding tempahan katering.
  • Beli secara pukal: Barangan asas seperti beras, minyak dan rempah lebih murah apabila dibeli dan dikongsi bersama keluarga. 
     

Cipta suasana Deepavali di rumah (lebih jimat)

Tidak buat rumah terbuka secara besar-besaran sempena Deepavali? Tidak mengapa — suasana perayaan tetap boleh dirasai di rumah sendiri. Berikut adalah beberapa idea dekorasi yang anda boleh buat sendiri dengan mudah dan menjimatkan:

Keluarga sambut di rumah dengan hiasan bunting, membuat rangoli dan pelita minyak, suasana gembira.

 

Kadangkala, sentuhan paling ringkas boleh mencipta suasana yang paling bermakna. Dan kenangan menghias rumah bersama keluarga? Nilainya… infiniti.

Bagaimana anda boleh kongsikan sinar Deepavali dengan orang lain?

Deepavali bukan sekadar untuk diraikan bersama keluarga sendiri. Sinarnya lebih indah bila dikongsikan dengan jiran dan rakan-rakan. Tak susah pun — yang penting, ikhlas dan penuh kasih sayang.

Anda boleh cuba cara ini:

  • Bertukar juadah seperti maruku yang dimasak sendiri dengan jiran sebagai tanda ingatan
  • Dermakan sari atau pakaian kanak-kanak yang masih elok kepada mereka yang memerlukan
  • Singgah ziarah ke rumah anak-anak yatim dengan membawa sedikit juadah perayaan

Kadangkala, tindakan kecil pun boleh menceriakan hari seseorang. Itulah semangat sebenar Deepavali — menyebarkan sinar, kasih sayang dan harapan.

Tahun ini, raikan Deepavali dengan kegembiraan, warna-warni dan semangat kebersamaan tanpa perlu bimbang tentang hal kewangan. Dengan sedikit perancangan, sentuhan kreatif dan keikhlasan, perayaan anda tetap boleh bersinar indah walaupun dengan bajet yang sederhana.

Perayaan yang paling bermakna bukan diukur dengan jumlah wang yang dibelanjakan, tetapi dengan kasih sayang dan sinar yang kita kongsikan bersama.

Selamat Hari Deepavali!

back chevron