Panduan Bijak Berbelanja Pada Musim Perayaan

Panduan Berbelanja Secara Bijak Pada Musim Perayaan
Article Image

Siapa yang tidak sukakan kemeriahan musim perayaan?  

Sama ada Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Deepavali, atau Hari Natal, pasti ada sesuatu yang magis tentang sambutan istimewa ini.

Daripada hiasan perayaan, makanan yang lazat sehinggalah tradisi turun-temurun, musim perayaan menyatukan orang ramai dalam semangat kebersamaan yang penuh makna.

Perancangan rumah terbuka secara besar-besaran serta jualan sempena musim perayaan sering menguji kawalan diri, sekali gus mendorong anda untuk berbelanja secara berlebihan. Walaupun keinginan untuk membeli-belah adalah lumrah, penting untuk berbelanja secara berhemah agar tidak menimbulkan tekanan kewangan.

Empat orang daripada pelbagai latar belakang memegang beg membeli-belah tema perayaan.

 

Bagi mereka yang cenderung berbelanja secara boros kerana berasa sukar untuk menguruskan duit, pesanan motivasi kami ialah: Anda pasti boleh ‘duit’ (do it) ! Kami faham tidak mudah untuk menahan diri daripada godaan berbelanja, oleh itu kami kongsikan beberapa tip yang dapat membantu anda mengatur perbelanjaan sepanjang musim perayaan ini.

1. Utamakan keperluan berbanding kehendak

Menjelang musim perayaan, sering kali kita tergoda untuk membeli pakaian, kereta atau perabot baharu sempena menyambut perayaan tersebut. Keseronokan itu kadangkala boleh membawa kepada pembelian impulsif.

Di samping itu, elakkan daripada terpengaruh dengan iklan-iklan yang menawarkan pelbagai tawaran menarik. Hanya berbelanja untuk keperluan, bukan kemahuan semata-mata. Sebelum anda membuat sesuatu pembelian, tanya diri anda: “Adakah saya benar-benar memerlukannya atau sekadar tunduk kepada desakan sosial?”

Dengan menyedari keperluan sebenar dan membuat pilihan yang bijak, anda boleh menikmati perayaan tanpa membazirkan duit.

2. Mulakan simpanan lebih awal

Anda boleh mempertimbangkan untuk membuka akaun khas bagi majlis perayaan atau acara keramaian. Dengan cara ini, anda boleh mengasingkan dana khusus dan mengelakkan penggunaan akaun simpanan utama anda. Bahagikan simpanan bulanan anda kepada dua kategori: simpanan peribadi dan perbelanjaan perayaan.

Pastikan anda mematuhi jumlah yang telah ditetapkan bagi mengelakkan perbelanjaan melebihi had bajet. Tetapkan pelan simpanan automatik bagi memudahkan proses menyimpan duit ke dalam akaun khas anda. Dengan cara ini, anda boleh membuat simpanan untuk perayaan secara beransur-ansur tanpa anda sedari sambil menjaga kewangan harian anda. Perlu diingat, lagi awal anda memulakan proses ini, lebih banyak simpanan yang akan anda miliki untuk dinikmati semasa perayaan.

Tambahan pula, anda pasti akan merasa teruja apabila mendapati dana perayaan anda berkembang, sedia untuk digunakan untuk momen istimewa bersama orang tersayang.

3. Rancang perjalanan anda lebih awal

Musim perayaan sering kali jatuh pada waktu cuti panjang, sekali gus menjadi waktu puncak pelancongan. Keadaan ini menyebabkan kos perjalanan meningkat terutamanya bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman, dan lebih-lebih lagi buat mereka yang berkeluarga.

Oleh itu, muktamadkan rancangan perjalanan anda lebih awal untuk penjimatan yang lebih baik, atau berkongsi kereta (carpool) bersama rakan yang menuju ke destinasi yang sama. Pastikan anda memanfaatkan setiap sumber yang ada, termasuk laman web yang menawarkan pakej perjalanan yang lebih murah atau membantu anda membuat perbandingan harga.

4. Pakai semula, kitar semula, padankan & jadi kreatif

Musim perayaan selalunya dikaitkan dengan perhiasan! Namun, anda tidak perlu berlebihan dengan lampu dan hiasan tambahan setiap tahun. Mengapa tidak gunakan pendekatan kitar semula dan guna semula perhiasaan yang sedia ada?

Hidupkan semula suasana rumah untuk perayaan tanpa perbelanjaan yang tinggi. Ambil inspirasi daripada media sosial dan berikan nafas baharu kepada koleksi hiasan tahun-tahun sebelumnya dengan sentuhan kreatif anda.

Selain itu, gayakan semula pakaian sedia ada dengan memadankannya bersama aksesori atau gaya baharu untuk tampil lebih segar dan berbeza. Padankan warna, corak, dan tekstur yang menarik untuk mencipta penampilan yang memukau serta unik. 

Anda bukan sahaja dapat menjimatkan duit dengan mengguna semula hiasan dan pakaian sedia ada, malah turut membuat pilihan mesra alam dengan mengurangkan pembelian yang tidak perlu.

Baca juga: BNPL: Impian Penggemar Beli-Belah

5. Sediakan juadah perayaan sendiri

Menyediakan hidangan perayaan serta kudapan sendiri di rumah boleh jadi cara yang bijak untuk berjimat.

Kebiasaannya, harga hidangan siap di kedai jauh lebih mahal disebabkan kenaikan kos bahan mentah. Dengan memasak sendiri, anda dapat mengawal kos dan menjimatkan duit, malah boleh membeli bahan-bahan lebih awal pada harga yang lebih rendah.

Bukan itu sahaja, melibatkan orang tersayang dalam proses memasak boleh menjadi aktiviti keluarga yang menyeronokkan. Aktiviti ini bukan sekadar menyediakan juadah yang lazat, malah menjadi peluang keemasan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Jadi, jom singsingkan lengan baju, siapkan bahan-bahan dan mula memasak!

Keluarga berempat memasak bersama di dapur dengan kek bertingkat yang berwarna-warni, menggambarkan kegembiraan.

 

Walaupun musim perayaan hanya setahun sekali, sambutan ini tidak semestinya diraikan dengan bermewah-mewahan. Jika tabiat berbelanja mewah menjadi suatu kebiasaan, kecenderungan ini akan memberi impak negatif kepada generasi akan datang.

Kami faham bahawa ini bukan perkara yang mudah terutamanya semasa musim perayaan di mana segala-galanya nampak menarik ketika berbelanja. Oleh itu, utamakan keperluan berbanding kehendak. Mari hayati tujuan sebenar musim perayaaan iaitu untuk mengeratkan hubungan bersama keluarga, jiran, sahabat dan komuniti, sambil memastikan kewangan kita terkawal.

Oh, Syawal sudah pun hampir tiba. Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin! 

back chevron