Merancang persaraan boleh terasa mencabar, lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan jangka hayat yang semakin panjang. Dengan mula mencarum lebih awal dan menyimpan secara konsisten, anda boleh merancang dengan yakin kerana keperluan kewangan anda lebih terjamin.
Langkah pertama menuju persaraan yang selamat ialah dengan membuka akaun KWSP (jika belum ada!).
Siapa yang layak mendaftar akaun KWSP?
Pendaftaran terbuka kepada individu berumur 14 tahun hingga bawah 75 tahun, termasuk:
- Warganegara Malaysia
- Pemastautin Tetap Malaysia
- Pekerja bukan warganegara yang memiliki pasport dan pas kerja yang sah untuk bekerja di Malaysia
Pendaftaran akaun KWSP untuk warganegara & pemastautin tetap Malaysia
1. Melalui aplikasi KWSP i-Akaun
Warganegara dan pemastautin tetap Malaysia boleh mendaftar akaun KWSP dengan mudah melalui aplikasi KWSP i-Akaun menggunakan proses pendaftaran pintar (e-KYC).
Sebelum mulakan pendaftaran:
Sediakan MyKad atau MyPR, dan pastikan anda berada di kawasan yang terang dan selamat.
Langkah-langkah:
- Muat turun aplikasi KWSP i-Akaun di Google Play Store, Apple App Store, atau Huawei AppGallery.
- Buka aplikasi KWSP i-Akaun.
- Pilih menu ‘Daftar atau aktifkan akaun’, kemudian pilih ‘Pendaftaran kali pertama’.
- Ikuti langkah-langkah yang dipaparkan di skrin sehingga pendaftaran selesai.
- Setelah pendaftaran berjaya, anda boleh terus mendaftar dan mengaktifkan i-Akaun (Ahli).
Cara daftar ahli KWSP melalui aplikasi KWSP i-Akaun
Baca juga: Tingkatkan Simpanan Anda Dengan Akaun KWSP
2. Melalui Self-Service Terminal (SST)
KWSP juga menyediakan mesin layan diri di beberapa lokasi strategik untuk memudahkan pendaftaran ahli tanpa perlu beratur di kaunter. Kemudahan ini hanya untuk pemegang MyKad dan MyPR.
Langkah-langkah:
- Cari SST KWSP yang terdekat.
- Masukkan MyKad atau MyPR dan sahkan cap ibu jari anda.
- Masukkan nombor telefon bimbit dan alamat e-mel.
- Semak dan sahkan maklumat peribadi anda.
- Nombor ahli KWSP akan dipaparkan di skrin dan dihantar ke e-mel anda selepas pendaftaran berjaya
Cara mendaftar ahli melalui SST
3. Melalui kaunter di pejabat KWSP
Bagi yang tidak berjaya membuat pendaftaran melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau SST, anda boleh hadir terus ke pejabat KWSP untuk mendaftar melalui kaunter.
Langkah-langkah:
- Bawa dokumen pengenalan diri seperti MyKad atau MyPR.
- Sahkan identiti anda dengan membuat pengesahan cap ibu jari di kaunter.
- Setelah pendaftaran berjaya, anda akan diberikan nombor ahli KWSP.
Cara daftar ahli melalui kaunter di pejabat KWSP
Untuk dapatkan lokasi pejabat KWSP berdekatan, layari laman web KWSP.
4. Melalui caruman majikan (pendaftaran automatik)
Pekerja warganegara dan pemastautin tetap Malaysia akan didaftarkan secara automatik apabila KWSP menerima bayaran caruman pertama daripada majikan. Pendaftaran ini menggunakan nama dan nombor pengenalan diri yang dinyatakan dalam Borang KWSP 6 (Borang A) dan akan disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Selepas pendaftaran berjaya, anda akan menerima notis makluman yang mengandungi nombor ahli KWSP.
Pendaftaran untuk pekerja bukan warganegara Malaysia
Mulai 1 Oktober 2025, pekerja bukan warganegara Malaysia (kecuali orang gaji domestik) wajib mencarum KWSP. Pendaftaran boleh dibuat melalui:
1. Pendaftaran automatik
Pekerja bukan warganegara Malaysia yang memegang Pas Lawatan (Kerja Sementara) atau Pas Penggajian akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli KWSP. Selepas pendaftaran berjaya, pekerja perlu hadir ke pejabat KWSP untuk melengkapkan pengesahan cap ibu jari dan mengemas kini maklumat peribadi.
2. i-Akaun (Majikan)
Bagi pekerja yang tidak berdaftar secara automatik, majikan boleh mendaftarkan mereka secara dalam talian melalui portal web i-Akaun (Majikan).
Selepas pendaftaran dibuat, majikan perlu mengaturkan janji temu untuk pekerja hadir ke pejabat KWSP bagi pengesahan dokumen dan cap ibu jari. Jika pendaftaran berjaya, pekerja akan diberikan nombor ahli KWSP.
Untuk dapatkan panduan mudah cara membuat pendaftaran, klik sini.
3. Self-Service Terminal (SST)
Pekerja bukan warganegara Malaysia juga boleh mendaftar melalui SST khas di pejabat KWSP. Pendaftaran hanya boleh dibuat dalam waktu operasi kaunter perkhidmatan iaitu 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Dokumen yang perlu dibawa ialah:
- Pasport dan pas kerja yang sah (asal dan salinan)
- Borang KWSP 3 (Daftar) yang telah dilengkapkan (jika perlu)
4. Kaunter di pejabat KWSP
Selain itu, pendaftaran juga boleh dibuat di pejabat KWSP dengan mengikuti langkah-langkah berikut:
- Bawa pasport dan pas kerja yang sah (asal dan salinan).
- Serahkan borang KWSP 3 (Daftar) yang telah dilengkapkan.
- Sahkan identiti dengan membuat pengesahan cap ibu jari di kaunter.
- Nombor ahli KWSP akan diberikan setelah pendaftaran berjaya.
Bagaimana saya boleh daftar dan aktifkan i-Akaun (Ahli)?
Sebaik sahaja anda berdaftar sebagai ahli KWSP, langkah seterusnya ialah mengaktifkan i-Akaun (Ahli). Dengan i-Akaun, anda boleh mengurus simpanan KWSP dengan mudah dan selamat, bila-bila masa di hujung jari.
Terdapat tiga pilihan untuk mendaftar dan mengaktifkan i-Akaun:
1. Melalui aplikasi KWSP i-Akaun
Jika pendaftaran ahli berjaya menggunakan proses e-KYC, anda boleh terus mengaktifkan i-Akaun sepenuhnya secara digital melalui aplikasi KWSP i-Akaun.
2. Melalui Self-Service Terminal (SST)
Jika anda tidak dapat menggunakan proses e-KYC di aplikasi KWSP i-Akaun, SST ialah pilihan alternatif yang mudah. Anda boleh daftar dan aktifkan i-Akaun sekali gus melalui SST yang disediakan di pejabat KWSP.
Untuk semak lokasi dan waktu operasi SST, klik sini.
3. Melalui kaunter di pejabat KWSP
Jika kedua-dua pilihan di atas tidak berjaya, anda boleh mendaftar secara manual di kaunter.
Anda akan menerima kod OTP melalui SMS. Kod ini perlu diaktifkan melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau portal web i-Akaun (Ahli) dengan memilih:
'Daftar atau aktifkan akaun’ → ‘Aktifkan dengan kod OTP yang diterima dari pejabat KWSP’.
Setelah pengaktifan i-Akaun berjaya melalui mana-mana kaedah di atas, anda boleh mula meneroka pelbagai ciri yang tersedia dalam aplikasi KWSP i-Akaun atau mengakses portal web i-Akaun (Ahli) menggunakan ID pengguna dan kata laluan yang telah anda cipta.
Dah bersedia untuk urus akaun KWSP anda?
Kini, dengan adanya akaun KWSP yang aktif, anda boleh mengurus simpanan persaraan anda dengan lebih mudah dan yakin. Pantau caruman bulanan, daftar penamaan, dan manfaatkan ciri i-Akaun yang direka khas untuk membantu anda mencapai matlamat persaraan.
Perlukan bantuan lanjut? Hubungi kami melalui WhatsApp KWSPMalaysia dengan mengimbas kod QR di bawah.



