Setiap orang mengimpikan hidup yang sihat dan bermakna, bebas dari sebarang penyakit. Tetapi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan gaya hidup sihat?
Gaya hidup sihat adalah satu proses atau amalan kesihatan yang menjurus kepada perubahan positif dalam kehidupan termasuk amalan yang meningkatkan kesejahteraan, fizikal, mental, dan emosi seseorang individu. Untuk memiliki gaya hidup sihat, anda perlu membuat pilihan yang tepat untuk kesihatan anda, seperti mengamalkan pemakanan yang sihat dan bergiat aktif secara fizikal. Ia juga akan mendorang anda untuk mencapai keseimbangan secara keseluruhan dan menikmati kehidupan yang bahagia.
Anda tidak perlu melakukan perubahan gaya hidup secara mendadak. Tetapi ubahlah gaya hidup sedikit demi sedikit dan secara konsisten, mengikut tahap keselesaan anda.
Laporan daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS, 2019) menyatakan bahawa:
- 1.7 juta individu di Malaysia kini hidup dengan ketiga-tiga faktor risiko utama, iaitu diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi.
- Salah satu punca utama kematian di Malaysia ialah penyakit kardiovaskular.
- Di Malaysia, 1 daripada 5 orang dewasa, atau 3.9 juta orang yang berumur 18 tahun ke atas telah menghidap diabetes.
Statistik Rakyat Malaysia Yang Menghidap Risiko Utama kepada Diabetes, Hipertensi & Kolestrol Tinggi.
(Sumber: NHMS, 2019)
Statistik Rakyat Malaysia Yang Menghidap Diabetes.
(Sumber: NHMS, 2019)
Pastinya anda tidak mengiginkan situasi di mana semua persediaan rapi yang dibuat ke arah persaraan yang selesa terjejas oleh masalah kesihatan yang tidak dijangka.
Maka, inilah masa terbaik untuk anda mula menjaga kesihatan diri bagi memastikan anda dapat menikmati kesejahteraan hidup yang diimpikan sepenuhnya.
Anda boleh mulakan gaya hidup yang sihat dengan mengamalkan Tips 5 ‘M’ di bawah:
5 tips untuk gaya hidup sihat di Malaysia
1. Menghentikan tabiat merokok (sekiranya anda merokok)
Menurut kaji selidik yang diterbitkan dalam Tobacco Induced Diseases Journal (2022), risiko kematian meningkat dengan merokok setiap hari. Pada tahun 2015, World Health Organization (WHO) mengisytiharkan bahawa merokok adalah punca utama yang menyebabkan 6.4 juta (11.5%) kematian di seluruh dunia.
Perokok pasif juga terdedah kepada risiko yang sama seperti perokok aktif. Pendedahan yang kerap kepada asap rokok boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan strok (Cancer Research UK Organization, 2021). Oleh itu, elakkan asap rokok di sekeliling anda jika anda tidak merokok.
2. Mula bersenam dengan kerap
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan setiap individu melakukan sekurang-kurangnya 150 minit senaman fizikal sederhana setiap minggu mengikut tahap keselesaan anda, contohnya, latihan kardio, latihan berat badan, atau latihan larian interval. Kuncinya adalah untuk mencari latihan yang sesuai dengan gaya hidup anda dan menjadikannya lebih mudah untuk menggabungkan senaman fizikal ke dalam rutin harian ada.
3. Mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat
Walaupun hidup kita dikelilingi syurga makanan, ini bukanlah alasan untuk kita makan sembarangan mengikut hawa nafsu. Kawalan diri adalah sangat penting. Antara tabit pemakanan secara sihat yang anda boleh amalkan adalah seperti berikut:
1) Makan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran dan air kosong setiap hari.
2) Kurangkan pengambilan makanan ringan dan makanan segera.
3) Kurangkan atau elakkan pengambilan alkohol.
4) Hadkan pengambilan makanan dan minuman manis setiap hari.
4. Menghadiri pemeriksaan kesihatan tahunan
Pemeriksaan perubatan perlu dibuat secara berkala kerana ia dapat mengesan sebarang kemungkinan masalah kesihatan dan penyakit kronik seperti kanser pada peringkat awal lagi serta memastikan kesihatan anda secara keseluruhannya berada pada tahap optimum. Anda dinasihatkan untuk meluangkan sekurang-kurangnya satu hari setiap tahun untuk menghadiri pemeriksaan kesihatan.
5. Menyusun jadual dan tabiat tidur anda
Berdasarkan laporan World Sleep Association (WSA), 35% rakyat Malaysia mengalami masalah gangguan tidur manakala hanya kira-kira 53% golongan yang bekerja memperoleh tidur yang mencukupi, iaitu tujuh (7) jam, setiap malam.
Kekurangan tidur boleh memberi kesan yang besar kepada kesihatan fizikal dan mental, termasuk insomnia dan kemurungan. Bagi mengatasi masalah ini, anda disarankan untuk mencuba amalan mengatur pemikiran anda sebelum tidur. Dengan menulisnya dalam jurnal, anda boleh meluahkan kebimbangan dan mengosongkan fikiran anda sebelum tidur.
Bagaimana jika impian persaraan tidak berjalan seperti yang dirancang?
Kehidupan ini kadangkala memang tidak menentu – tiada siapa dapat meramalkan apa yang akan berlaku esok atau pada masa akan datang. Walaupun kita sentiasa berharap bahawa kita akan sentiasa bernasib baik untuk menjalani kehidupan yang bahagia, cabaran dan dugaan pastinya tidak dapat dielakkan. Untuk melindungi diri dan keluarga anda daripada kemungkinan terbeban dengan masalah kewangan, adalah penting untuk membuat perancangan bagi menghadapi sebarang kecemasan atau keadaan yang tidak diingini.
Jika anda belum tahu, sebagai seorang ahli KWSP, anda boleh menggunakan simpanan Akaun Sejahtera anda untuk Pengeluaran Kesihatan yang meliputi pelbagai rawatan penyakit kritikal atau peralatan penjagaan kesihatan untuk diri anda, pasangan dan anak-anak. Kemudahan ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan yang anda hadapi bagi memenuhi keperluan perubatan.
Bukan itu sahaja, KWSP juga menawarkan Pelan Perlindungan Ahli melalui platform i-Lindung bagi menawarkan jaminan kewangan dan ketenangan fikiran untuk keperluan perubatan kepada semua ahli. Melalui Pelan Perlindungan Ahli ini, anda boleh memilih perlindungan insurans hayat dan/ atau penyakit kritikal pada harga yang berpatutan dengan menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera anda. Anda juga boleh memilih mana-mana syarikat insurans atau takaful yang menyertai kemudahan ini untuk mendapatkan pelan perlindungan yang sesuai dengan kehendak anda.