Cara Mengurus Hutang Baik vs. Hutang Buruk

Hutang Baik vs. Hutang Buruk: Apa Bezanya Dan Mengapa Perlu Tahu?
Article Image

Mana satu pilihan anda: mengambil pinjaman yang memberi manfaat, atau pinjaman yang bakal menjerat anda dalam bebanan hutang?

Sudah tentu ramai memilih yang pertama. Namun, realitinya ramai yang terjerangkap dalam bebanan hutang berlebihan kerana terlepas pandang implikasi jangka panjang atau kurang mahir dalam pengurusan hutang. Keadaan ini mencetuskan persepsi dalam kalangan rakyat Malaysia bahawa semua jenis hutang itu negatif.

Padahal, hutang sebenarnya boleh menjadi ‘baik’ atau 'buruk' bergantung kepada tujuan dan cara anda mengendalikannya. Ramai yang hanya nampak kesenangan segera tanpa sedar komitmen tersebut boleh bertukar menjadi beban yang menyesakkan di kemudian hari.
Jadi, apa sebenarnya perbezaan hutang baik dan hutang buruk? Mari kita teliti.

Infografik hutang baik vs buruk: pinjaman pendidikan/rumah/perniagaan vs kad kredit/mewah/peribadi; kesedaran kewangan.

 

Apa itu hutang baik?

Secara amnya, hutang baik ditakrifkan sebagai pinjaman yang berupaya menjana pendapatan, meningkatkan nilai kekayaan bersih (net worth), atau memberikan manfaat jangka panjang. Biasanya, hutang jenis ini mempunyai kadar faedah yang lebih rendah dan boleh dilunaskan mengikut terma yang ditetapkan tanpa menjejaskan aliran tunai anda. 

3 contoh hutang baik

1) Pinjaman pendidikan 
Memulakan hidup sebagai graduan berhutang mungkin kedengaran kurang menyenangkan, namun lihatlah langkah ini sebagai pelaburan untuk 'nilai pasaran' anda. Dengan kelayakan akademik yang tepat, seseorang graduan mampu meraih pendapatan jauh lebih tinggi. Peningkatan kemahiran serta kredibiliti ini akan membuka prospek pekerjaan yang lebih luas serta peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik.

Tambahan pula, kadar faedah pinjaman pendidikan biasanya rendah, sekali gus memudahkan urusan pembayaran semula. Lama-kelamaan, pulangan daripada ilmu tersebut bakal mengatasi jumlah hutang yang dipinjam, menjadikannya satu keputusan kewangan jangka panjang yang sangat baik.

2) Pinjaman perniagaan
Sesetengah perniagaan memerlukan modal permulaan yang besar bagi membiayai peralatan, inventori, atau premis perniagaan. Pinjaman ini membolehkan anda (pemilik perniagaan) memulakan operasi dan menjana keuntungan melalui perancangan yang rapi. 

Sekiranya prestasi perniagaan memberangsangkan, hutang jenis ini sangat berbaloi kerana membolehkan anda mengembangkan empayar sambil melunaskan pinjaman secara berperingkat. Hasil keuntungan yang dijana biasanya jauh lebih tinggi berbanding kos faedah pinjaman tersebut. 

3) Pinjaman perumahan (mortgage)
Mengambil pinjaman perumahan mungkin komitmen kewangan terbesar dalam hidup anda, namun langkah ini merupakan strategi membina kekayaan yang bijak. Walaupun hutang jangka panjang ini mempunyai risiko, kelebihannya sukar dinafikan:

Rumah dengan faedah: kadar faedah rendah, rumah stabil, bina ekuiti, peningkatan nilai hartanah.

 

Namun, perancangan bajet yang teliti amatlah penting. Kegagalan menjelaskan bayaran pinjaman boleh mengakibatkan rumah dilelong atau dirampas (foreclosure), maka komitmen ini perlu diurus dengan penuh tanggungjawab.

Apa itu hutang buruk?

Berbeza dengan hutang baik, sesuatu pinjaman bertukar menjadi hutang buruk apabila anda meminjam wang untuk membiayai liabiliti yang tidak menjana sesen pun pendapatan. Hutang jenis ini biasanya dikenakan kadar faedah yang sangat tinggi. Malah, aset yang dibeli pula susut nilai dengan mendadak, sekaligus menjerat peminjam dalam kemelut kewangan yang berpanjangan.

3 contoh hutang buruk

1) Kad kredit (Penggunaan tanpa kawalan)
Kad kredit sememangnya memudahkan urusan, namun instrumen ini boleh menjadi perangkap kewangan jika digunakan secara semberono. Sekiranya anda hanya membayar jumlah minimum, faedah yang bertimbun akan membuatkan anda terperangkap dalam kitaran hutang yang sukar diselesaikan.

2) Pinjaman peribadi: Percutian & barangan mewah
Gara-gara pengaruh sosial dan keinginan untuk tampak mewah, segelintir individu sanggup mengambil pinjaman peribadi semata-mata demi percutian atau barangan berjenama. Pinjaman sebegini hanya menawarkan kepuasan sementara, namun disertakan dengan beban faedah yang tinggi. Berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) sehingga Februari 2026, pinjaman peribadi merupakan punca utama kebankrapan di negara ini dengan menyumbang sebanyak 45.50% daripada keseluruhan kes. 

Sebaliknya, adalah lebih bijak untuk menepis godaan tersebut, menyimpan wang terlebih dahulu bagi perbelanjaan sebegitu, dan mengutamakan keperluan yang lebih mendesak.

Wanita bergaya dengan cermin mata hitam dan bagasi emas di kawasan pelepasan dan daftar masuk airport.

 

3) Pinjaman kenderaan mewah
Pembeli kenderaan sering kali tertarik dengan tempoh pembiayaan tujuh hingga sembilan tahun demi ansuran bulanan rendah. Hakikatnya, kontrak jangka panjang sebegini menelan kos jauh lebih tinggi berbanding pinjaman lima tahun akibat faedah terkumpul. 

Oleh itu, bandingkan tawaran bagi mencari pilihan paling sesuai dengan kedudukan kewangan anda. Pastikan anda meneliti harga keseluruhan, wang pendahuluan, kadar faedah, serta tempoh pembiayaan tersebut. Memandangkan nilai kenderaan susut dengan mendadak, memilih kereta mampu milik adalah langkah paling bijak bagi mengelakkan kerugian besar.

Baca juga: Rancang Beli Kereta Pertama? Baca Ini Dulu

Cara mengurus hutang dengan bijak

Pengurusan hutang ialah proses menyusun, mengawal, dan mengurangkan bebanan kewangan demi masa depan. Langkah yang tepat mampu melindungi anda daripada ancaman muflis, menjaga skor kredit, serta menjamin kestabilan hidup. Sebaliknya, kegagalan mengurusnya dengan baik bakal membawa padah yang serius. 

Bagi memastikan bebanan hutang anda terkawal, beberapa langkah proaktif berikut perlu diambil:

1. Sediakan senarai hutang
Pantau setiap komitmen agar anda lebih peka terhadap aliran tunai serta mengelakkan pinjaman yang tidak perlu.

2. Bayar hutang tepat pada masanya
Kelewatan hanya akan menambah faedah serta penalti. Utamakan pelunasan hutang mengikut terma yang dipersetujui.

3. Kawal penggunaan kad kredit
Utamakan penggunaan wang tunai atau kad debit bagi pembelian harian untuk mengelakkan tabiat berbelanja mengikut nafsu. Kaedah ini memudahkan anda memantau perbelanjaan secara masa nyata (real-time).

4. Urus perbelanjaan dengan berhemah
Peruntukkan dana bagi keperluan asas, simpanan, dan kecemasan. Anda boleh menggunakan aplikasi Belanjawanku daripada KWSP untuk memantau perbelanjaan secara digital mengikut panduan bajet yang realistik. Fikir dua kali sebelum membuat pembelian impulsif, terutamanya secara dalam talian.

5. Dapatkan khidmat pakar
Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi kritikal. Sekiranya bebanan hutang mula menghimpit hidup, dapatkan bantuan profesional daripada badan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi khidmat nasihat atau program pengurusan kredit yang lebih berstruktur.

Dengan memahami perbezaan antara hutang baik dengan hutang jahat, serta mengurus pinjaman secara bertanggungjawab, anda berupaya menjadikan hutang sebagai alat membina jaminan kewangan dan bukannya punca tekanan hidup.
 

back chevron