Melabur memang kedengaran cukup menarik. Ramai orang bercakap tentang cara menggandakan wang, menjana pulangan, dan membina kekayaan. Namun, sebelum anda melangkah jauh, ada satu perkara yang perlu dihadam: pelaburan bukanlah jalan pintas untuk cepat kaya.
Pelaburan hanyalah satu cara untuk mengembangkan wang anda dalam jangka masa panjang. Jika dilakukan dengan strategi yang betul, langkah ini membantu membina masa depan kewangan yang kukuh. Sebaliknya, jika dilakukan secara meluru, anda hanya akan mendedahkan diri kepada risiko kerugian, tekanan dan kekesalan.
Jika anda masih baharu dalam dunia pelaburan, berikut adalah perkara utama yang perlu anda fahami:
Perbezaan antara menyimpan dan melabur
Ramai yang menganggap menyimpan dan melabur adalah perkara yang sama, padahal kedua-duanya mempunyai peranan yang sangat berbeza.
Ringkasnya, menyimpan adalah untuk memastikan wang anda selamat serta boleh dikeluarkan pada bila-bila masa, terutamanya untuk kegunaan kecemasan. Melabur pula bertujuan meletakkan wang tersebut dalam instrumen yang berpotensi menjana pulangan untuk jangka masa panjang.
Kedua-duanya sangat penting tetapi memenuhi tujuan yang berbeza. Oleh itu, pelabur baharu tidak seharusnya gopoh melaburkan semua wang yang ada. Membina asas kewangan melalui simpanan yang mencukupi adalah sama pentingnya dengan usaha menggandakan kekayaan.
Baca juga: 5 Sebab Anda Perlu Menyimpan Duit
Tentukan matlamat: Mengapa anda perlu melabur?
Ramai yang tersilap langkah dengan melabur semata-mata kerana melihat orang lain menjana keuntungan, terpengaruh dengan cerita tular di media sosial, atau berasa bimbang jika ketinggalan (FOMO). Hal ini bukanlah alasan yang kukuh untuk mula melabur.
Sebelum meletakkan modal dalam sebarang instrumen, tanya diri anda:
“Apa sebenarnya yang saya mahu capai?”
Adakah anda melabur untuk menggandakan simpanan persaraan, membina kekayaan jangka panjang, atau mahu wang tersebut memberikan pulangan dengan lebih efektif?
Matlamat inilah yang akan menjadi kompas dalam setiap keputusan anda. Dana persaraan contohnya boleh dibiarkan berkembang dalam tempoh yang lama, namun wang yang ingin digunakan dalam masa terdekat perlu diuruskan dengan lebih berhati-hati.
Tanpa hala tuju yang jelas, anda lebih mudah panik apabila pasaran tidak menentu atau mula mengejar trend yang belum tentu mendatangkan hasil.
Pertimbangkan tempoh masa pelaburan anda
Dalam dunia pelaburan, masa merupakan faktor penentu yang sangat kritikal.
Jika anda bercadang untuk menggunakan semula wang tersebut dalam tempoh yang singkat, pelaburan akan menjadi lebih mencabar kerana harga pasaran sering turun naik tanpa diduga. Sebaliknya, jika anda mampu mengekalkan pelaburan tersebut untuk jangka masa panjang, anda ada lebih banyak masa untuk mengharungi ketidaktentuan pasaran jangka pendek.
Inilah yang dinamakan sebagai tempoh masa pelaburan (investment time horizon), iaitu jangka masa wang anda dibiarkan berkembang sebelum perlu dikeluarkan semula.
Secara ringkas, anda boleh kategorikan matlamat pelaburan anda seperti berikut:
- Jangka pendek: kurang daripada 1 tahun
- Jangka sederhana: 1 hingga 5 tahun
- Jangka panjang: lebih daripada 5 tahun
Tempoh ini akan mempengaruhi jenis pelaburan yang sesuai untuk anda. Wang yang diperlukan segera biasanya perlu diuruskan dengan lebih berhati-hati berbanding dana yang dikhaskan untuk matlamat jangka panjang.
Setiap pelaburan mempunyai risiko
Ramai orang yang baru hendak berjinak-jinak dalam bidang ini selalu nampak "untung" sahaja. Mereka sibuk mencari pelaburan yang boleh memberikan pulangan paling tinggi.
Sebenarnya, itu bukanlah cara yang betul untuk mula melabur.
Hakikatnya, setiap pelaburan datang bersama risiko. Ada produk yang menawarkan pulangan stabil tetapi rendah, dan ada juga yang nilainya boleh turun naik dengan mendadak. Tiada istilah pelaburan "paling bagus" kerana segala-galanya bergantung pada matlamat, tempoh masa pelaburan, serta sejauh mana anda berani berdepan dengan risiko.
Risiko ini boleh datang dalam pelbagai bentuk. Mungkin harga pasaran jatuh tiba-tiba, atau inflasi menyebabkan nilai duit anda semakin susut. Malah, peristiwa global seperti kemelesetan ekonomi, peperangan, mahupun pandemik turut memberi kesan kepada pulangan pelaburan anda.
Perlu diingat, potensi pulangan yang tinggi bukan bermaksud keuntungan itu sudah dalam tangan. Sebaliknya, keadaan tersebut datang dengan tahap risiko yang jauh lebih besar.
Tanya diri anda:
“Sejauh mana saya berani berdepan risiko, dan berapa banyak kerugian yang mampu saya tanggung jika keadaan tidak menyebelahi saya?”
Padankan produk pelaburan dengan profil risiko anda
Setelah memahami bahawa setiap pelaburan mempunyai risiko, langkah seterusnya ialah memilih produk yang benar-benar selari dengan tahap keberanian anda. Hal ini sangat penting kerana tidak semua instrumen pelaburan serasi dengan setiap individu. Apa yang terbaik untuk kawan anda, belum tentu sesuai untuk anda.
Ada pelaburan yang lebih stabil tapi pulangannya rendah seperti deposit tetap atau dana bon dan sukuk. Pilihan tersebut mungkin lebih sesuai untuk pelabur berhati-hati (konservatif) yang kurang selesa melihat nilai pelaburan berubah secara mendadak.
Dana seimbang pula menggabungkan pelbagai jenis aset dan mungkin lebih sesuai bagi pelabur sederhana yang sedia menerima keadaan pasaran yang naik turun secara terkawal.
Bagi pelabur agresif pula, produk seperti dana ekuiti, saham, sesetengah Dana Dagangan Bursa (ETF), atau pelaburan berkaitan emas mungkin lebih serasi walaupun harganya tidak menentu. Pilihan ini dikhususkan bagi mereka yang merancang untuk melabur dalam jangka masa panjang serta mempunyai toleransi risiko yang lebih tinggi.
Waspada dengan scam, hype, dan kesilapan pelaburan
Risiko penipuan (scam) turut bertambah seiring peningkatan minat melabur. Berwaspadalah dengan tawaran yang menjanjikan pulangan tetap, keuntungan segera, atau pelaburan "bebas risiko". Pelaburan sebenar tidak berfungsi sebegitu.
Ramai pelabur baharu sering terperangkap dalam kesilapan seperti berikut:
Kesilapan-kesilapan ini bukan sahaja menjejaskan pulangan, malah boleh meragut keyakinan serta kestabilan kewangan anda.
Baca juga: 3 Scam Popular Di Malaysia & Cara Elak Ditipu
Fokus pada konsistensi, bukan kesempurnaan
Ramai orang menangguhkan niat untuk melabur kerana berfikir perlu menunggu sehingga ada wang yang banyak atau masa yang "tepat".
Hakikatnya, konsistensi lebih penting daripada cuba mencari waktu yang sempurna.
Melabur dalam jumlah kecil secara tetap selalunya lebih berkesan berbanding menunggu saat paling sesuai yang mungkin tidak akan tiba.
Bak kata pepatah, "sikit-sikit, lama-lama jadi bukit."
Sedia untuk melabur? Manfaatkan i-Invest KWSP
Bagi ahli KWSP yang layak, Skim Pelaburan Ahli (SPA) memberi anda peluang untuk memilih instrumen pelaburan yang diluluskan mengikut tahap risiko masing-masing.
Bagaimanapun, keputusan untuk melabur di bawah skim ini tidak harus diambil ringan. Memandangkan langkah tersebut melibatkan sebahagian daripada simpanan persaraan, pastikan pilihan yang dibuat selari dengan:
- Matlamat kewangan anda
- Tahap kesediaan anda
- Keperluan jangka masa panjang
Untuk bermula, anda boleh melayari platform i-Invest melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau portal web i-Akaun (Ahli) bagi menilai tahap toleransi risiko serta mencari pilihan pelaburan yang sesuai.
Soalan Lazim
1. Berapakah jumlah wang yang saya perlukan untuk mula melabur?
Jumlah tersebut bergantung pada produk yang dipilih. Banyak pilihan pelaburan hari ini membolehkan anda bermula dengan modal yang kecil, malah ada yang serendah RM100. Di bawah Skim Pelaburan Ahli (SPA) KWSP pula, jumlah pelaburan minimum ialah RM1,000.
2. Adakah saya boleh rugi dalam pelaburan?
Ya. Pelaburan tidak bebas daripada risiko. Nilai pelaburan boleh naik atau turun, malah anda berisiko kehilangan sebahagian daripada modal asal. Oleh itu, pemilihan produk yang selari dengan matlamat, tempoh masa pelaburan, dan tahap toleransi anda terhadap risiko sangat penting.
3. Bilakah waktu yang terbaik untuk mula melabur?
Mulakan apabila anda sudah bersedia dari segi kewangan iaitu apabila anda mempunyai pendapatan yang stabil, hutang yang terkawal, dan simpanan kecemasan yang mencukupi. Mula melabur lebih awal memberikan wang anda lebih banyak masa untuk berkembang.
4. Bagaimana saya ingin tahu pelaburan mana yang sesuai untuk saya?
Mulakan dengan memahami matlamat kewangan, tempoh masa pelaburan, serta tahap toleransi risiko anda. Faktor-faktor tersebut akan menjadi panduan dalam membuat keputusan pelaburan yang bijak.



