Pernah terfikir bagaimana kehidupan anda selepas bersara? Dengan kos sara hidup yang meningkat dan cara kerja yang semakin dinamik, merancang persaraan bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.
Di sinilah KWSP menjadi rakan strategik anda dengan asas kukuh untuk keselamatan kewangan, menawarkan kadar dividen menarik, pelbagai kemudahan dan faedah persaraan serta perlindungan jangka panjang untuk masa depan yang lebih terjamin
Bagaimana saya boleh tingkatkan simpanan di KWSP?
Ramai beranggapan simpanan KWSP hanya akan bertambah jika pendapatan anda meningkat. Hakikatnya, walaupun pendapatan memainkan peranan, ada beberapa cara untuk mengembangkan simpanan anda dan memaksimumkan faedah persaraan melalui KWSP:
Caruman Sukarela
Selain potongan wajib bulanan, anda boleh menambah simpanan KWSP secara sukarela dengan jumlah serendah RM10 sehingga maksimum RM100,000 setahun.
Mulakan awal supaya anda dapat manfaat daripada kuasa penggandaan (compounding). Lagi lama anda menyimpan, lagi besar peluang ia berkembang. Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan kewangan jangka pendek, malah memberi faedah persaraan yang lebih baik untuk jangka panjang.
Tambah simpanan anda sekarang!
i-Saraan
Pernah dengar tentang i-Saraan? Skim ini khas untuk ahli berumur 60 tahun ke bawah yang bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap. Melalui i-Saraan, anda boleh membuat simpanan secara sukarela dan menerima insentif kerajaan sebanyak 20% daripada jumlah caruman, sehingga maksimum RM500 setahun dan RM5,000 seumur hidup. Pilihan ini sangat sesuai untuk pekerja gig atau mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal.
Dengan i-Saraan Plus yang bakal diperkenalkan di bawah Belanjawan 2026, pekerja e-hailing dan p-hailing akan menikmati insentif tambahan untuk meningkatkan faedah persaraan mereka. Nantikan butiran lanjut!
Baca juga: Belanjawan 2026: Apa Yang Ahli KWSP Perlu Tahu
Faedah persaraan KWSP yang akan anda nikmati dalam jangka panjang
Pendapatan Dividen
KWSP mengisytiharkan dividen tahunan sekitar 3% hingga 4%, dengan potensi kadar lebih tinggi. Untuk Simpanan Konvensional, kadar minimum ditetapkan pada 2.50%, manakala Simpanan Shariah pula menawarkan pulangan sepenuhnya daripada pelaburan patuh syariah. Dalam jangka masa panjang, dividen ini membantu meningkatkan jumlah simpanan, sekali gus mengukuhkan faedah persaraan anda.
Fleksibiliti
KWSP memahami bahawa setiap ahli mempunyai matlamat kewangan dan pegangan agama yang berbeza. Sebab itu KWSP menawarkan pilihan antara Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional. Melalui Simpanan Shariah, pulangan hanya diperoleh daripada pelaburan patuh syariah, manakala pulangan Simpanan Konvensional melibatkan campuran pelaburan patuh syariah dan konvensional.
Pilihan ini membolehkan anda melabur mengikut nilai dan keutamaan hidup anda, sambil memastikan simpanan persaraan terus berkembang dengan strategi yang sesuai.
Baca juga: Jadikan Simpanan Shariah Sebagai Pilihan Perancangan Persaraan Anda
Pengecualian Cukai
Simpanan anda di KWSP layak mendapat pelepasan cukai sehingga RM7,000 setahun, tertakluk kepada pindaan berkala oleh kerajaan (tidak termasuk pelepasan untuk bayaran premium insurans hayat). Selain itu, dividen daripada pelaburan KWSP juga dikecualikan cukai. Manfaat ini membantu anda mengembangkan simpanan persaraan dengan lebih cekap, sambil memberi ruang untuk anda merancang kewangan dengan lebih baik.
Baca juga: Pelepasan Cukai untuk Ahli KWSP: Apa Yang Perlu Diketahui
Literasi Kewangan & Sokongan Persaraan
KWSP turut menyediakan Perkhidmatan Perhubungan & Nasihat (RA) iaitu perundingan profesional percuma untuk membantu anda menetapkan matlamat kewangan, menilai kedudukan semasa dan merancang persaraan dengan lebih berkesan.
Selain itu, anda juga boleh mengakses pelbagai bahan literasi kewangan seperti artikel, audio siar dan infografik di laman web KWSP. Sokongan ini memastikan anda dilengkapi ilmu dan sumber yang cukup untuk membuat keputusan terbaik demi masa depan yang lebih selesa dan terjamin.
Kesimpulannya, KWSP ialah pilihan bijak dan berbaloi untuk perancangan persaraan. Jadikan KWSP sebagai komponen utama pelan simpanan anda agar keselamatan kewangan terjamin dan anda dapat menikmati hidup yang lebih selesa selepas bersara. Mulakan simpanan KWSP anda hari ini!



