Cara Menyimpan Untuk Persaraan Sebagai Pekerja Gig

Capai Kebebasan Kewangan Sebagai Pekerja Gig
Article Image

Suatu ketika dahulu, “gig” hanyalah istilah slanga dalam kalangan pemuzik yang digunakan untuk menggambarkan persembahan langsung, khususnya oleh kumpulan pemuzik baharu yang sedang meningkat naik. Namun hari ini, dalam era digital, maknanya sudah berubah sama sekali. 

Individu berbaju merah merakam podcast dengan komputer riba, mikrofon, kamera, tumbuhan, dan buku.

 

Kebangkitan ekonomi gig membuka peluang baharu kepada orang ramai untuk menjana pendapatan melalui kerja bebas (freelance), kontrak jangka pendek dan platform digital. 

Daripada pemandu e-hailing dan p-hailing hingga pereka bebas (freelance designer), pencipta kandungan (content creator), editor video (video editor) dan pempengaruh media sosial (social media influencer), semakin ramai rakyat Malaysia memilih gaya kerja yang lebih fleksibel dan menjadi “bos kepada diri sendiri”. 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bilangan pekerja gig sepenuh masa juga terus meningkat dan dijangka akan berkembang lagi. Tarikannya jelas. Kerja gig memberi fleksibiliti, kebebasan, dan peluang untuk memilih projek yang seiring dengan minat serta gaya hidup. 

Namun begitu, di sebalik kebebasan ini, ada tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan, terutamanya dalam perancangan kewangan jangka panjang dan simpanan persaraan. 

Mengapa pekerja gig perlu mengutamakan perancangan persaraan?

Di sebalik kebebasan dan fleksibiliti yang ditawarkan oleh pekerjaan gig, terdapat beberapa cabaran kewangan yang boleh menyukarkan perancangan persaraan jika tidak diurus dengan baik. 

1. Pendapatan tidak menentu

Berbeza dengan pekerja tetap yang mempunyai waktu kerja lebih teratur, pekerja gig sering berdepan jadual yang berubah-ubah. Akibatnya, pendapatan juga tidak konsisten dan sukar dijangka. Keadaan ini menjadikan perancangan kewangan lebih mencabar kerana pendapatan bulanan sukar dianggarkan, sekali gus menjadikan amalan menyimpan untuk persaraan semakin penting. 

2. Caruman KWSP tidak diwajibkan

Kebanyakan pekerja bergaji mendapat manfaat daripada caruman wajib KWSP oleh majikan dan pekerja. Namun, pekerja gig, pekerja bebas dan individu bekerja sendiri tidak mempunyai kelebihan ini. 

Tanpa caruman wajib, simpanan persaraan tidak terbina secara automatik. Semuanya bergantung kepada usaha sendiri. Oleh itu, pekerja gig perlu lebih proaktif membina simpanan persaraan sejak awal secara konsisten. 

3. Faedah dan perlindungan terhad

Pekerjaan tradisional lazimnya menyediakan pelbagai faedah seperti perlindungan perubatan, rawatan pergigian, cuti tahunan dan insurans. Bagi pekerja gig, kebanyakan kos ini perlu ditanggung sendiri. 

Selain itu, tiada konsep cuti berbayar dalam ekonomi gig. Setiap kali mengambil cuti, pendapatan turut terhenti buat sementara waktu. Dalam keadaan ini, perancangan kewangan menjadi semakin penting. 

Baca juga5 Tip Untuk Gaya Hidup Sihat

Bagaimana mengurus kewangan sebagai pekerja gig?

Sebagai langkah permulaan, anda boleh menyediakan dana kecemasan sebagai simpanan khas untuk menampung perbelanjaan tidak dijangka. Sebaiknya, simpan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan hidup dalam akaun berasingan.  

Bagi pekerja gig dengan pendapatan tidak tetap, dana kecemasan ini menjadi sandaran penting ketika keadaan tidak menentu. Apabila simpanan ini mencukupi, barulah lebih mudah untuk memberi tumpuan kepada matlamat kewangan jangka panjang, khususnya simpanan persaraan. 

Tingkatkan simpanan KWSP melalui i-Saraan

Salah satu cara yang mudah dan berkesan untuk membina dana persaraan ialah melalui i-Saraan. Inisiatif ini direka khusus untuk individu bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap, membolehkan ahli membuat caruman sukarela sambil menikmati insentif tambahan daripada kerajaan, tertakluk kepada terma dan syarat. 


Bagi pekerja gig, pekerja bebas dan individu dengan pendapatan tidak menentu, i-Saraan menawarkan pendekatan yang fleksibel untuk membina keselamatan kewangan jangka panjang dan membantu anda bersedia untuk persaraan. 

Seiring dengan perkembangan ekonomi gig, KWSP turut memperluaskan sokongan kepada pekerja sektor e-hailing dan p-hailing melalui i-Saraan Plus

Melalui inisiatif ini, pemandu yang layak boleh terus mencarum bagi simpanan persaraan dengan cara yang lebih praktikal, sambil menikmati manfaat di bawah program i-Saraan. 

Infografik perbandingan i-Saraan dan i-Saraan Plus KWSP, menunjukkan kriteria kelayakan dan insentif kerajaan untuk pekerja sendiri dan pemandu e-hailing.

 

Kenapa i-Saraan patut jadi pilihan anda

Lima blok kewangan: komputer riba (caruman), graf (dividen), syiling (insentif), kalkulator (cukai), dan ambulans.

 

1. Caruman yang fleksibel

Anda boleh mencarum ke dalam akaun KWSP pada bila-bila masa dengan jumlah caruman mengikut kemampuan, tertakluk kepada had maksimum RM100,000 setahun. Ini membolehkan anda terus menyimpan untuk persaraan tanpa menjejaskan aliran tunai semasa, sambil mengurus kewangan dengan lebih teratur.

2. Dividen tahunan

Dividen tahunan KWSP turut membantu mengembangkan simpanan persaraan anda. Pulangan ini berpotensi mengatasi akaun simpanan biasa atau deposit tetap, sekali gus membantu melindungi nilai simpanan daripada inflasi dan memastikannya terus berkembang dari semasa ke semasa.

3. Insentif kerajaan

Individu yang layak di bawah i-Saraan boleh menerima insentif sehingga 20% daripada jumlah caruman tahunan, dengan had maksimum RM500 setahun. Bagi peserta i-Saraan Plus, insentif boleh mencecah sehingga RM600 setahun. 

Insentif ini membantu mempercepatkan pertumbuhan simpanan persaraan. 

4. Pelepasan cukai

Caruman sukarela untuk simpanan persaraan juga layak mendapat pelepasan cukai, tertakluk kepada terma dan syarat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). 

Ini sekali gus memberi galakan tambahan untuk terus membina simpanan sebagai persediaan masa depan. 

5. Bantuan kematian 

KWSP menyediakan bantuan kematian sebanyak RM2,500 kepada penama atau waris yang layak sekiranya berlaku kematian ahli, tertakluk kepada terma dan syarat. Bantuan ini memberikan sokongan kewangan tambahan kepada keluarga pada waktu sukar. 

Mula bina simpanan persaraan anda hari ini

Ekonomi gig telah mengubah landskap pekerjaan moden dan trend ini dijangka akan terus berkembang. Sebagai pekerja gig, mula menyimpan untuk persaraan lebih awal membantu membina masa depan kewangan yang lebih stabil serta memberi keyakinan untuk menghadapi perubahan dalam dunia pekerjaan. 

Melalui inisiatif seperti i-Saraan dan i-Saraan Plus, pekerja gig kini mempunyai lebih banyak peluang untuk mengukuhkan simpanan persaraan dan merancang masa depan dengan lebih yakin.

back chevron