Ketika kita menyambut Tahun Baharu, ia bukan sekadar perubahan angka pada kalendar; ia juga peluang untuk memulakan lembaran baharu, menetapkan hala tuju, dan mengatur langkah bagi bulan-bulan mendatang. Di sebalik kegembiraan permulaan baru, ia juga masa yang tepat untuk memperbaharui azam — seperti aspirasi kerjaya, pembangunan diri, dan yang paling utama, mencapai matlamat kewangan yang lebih mapan.
Konsep 'Tahun Baharu, Matlamat Kewangan Baharu' lebih daripada sekadar ungkapan menarik; ia adalah kesempatan untuk kita merenung kembali dan memperbaharui cara kita mengurus kewangan. Jika anda sering menetapkan matlamat kewangan yang sama berulang kali, anda tidak bersendirian. Begitu mudah untuk membayangkan peningkatan kewangan apabila tahun baharu bermula, tetapi untuk mengubah pemikiran itu kepada realiti adalah cabaran yang berbeza.
Berikut adalah trik mudah: matlamat besar sering bermula dengan perubahan kecil dalam tabiat. Jadi, apabila kita melangkah ke tahun 2025 dengan beberapa matlamat yang masih belum tercapai pada tahun lalu, mari kita fokus kepada perubahan kecil yang bukan sahaja membentuk matlamat tersebut tetapi juga memberi kesan besar kepada kewangan kita. Ketahui lima cara untuk perbaiki kewangan anda tahun ini:
1. Amalkan perbelanjaan berhemat
Luangkan masa untuk berhenti sejenak sebelum membuat pembelian, terutamanya semasa jualan promosi. Fikirkan dengan teliti tentang apa yang ingin dibeli dan berapa banyak yang akan dibelanjakan. Selain itu, elakkan daripada terpengaruh dengan trend atau membeli semata-mata kerana sesuatu itu popular. Perubahan kecil dalam cara berfikir ini boleh membawa kesan besar kepada tabiat perbelanjaan anda. Lagipun, berbelanja secara berhemat bukan sekadar soal angka; ia juga tentang membuat pilihan yang menyokong kesejahteraan kewangan anda.
Baca juga: Cara Lesapkan Simpanan Dalam 10 Hari (Jangan Cuba!)
2. Pantau kewangan anda secara berkala
Memantau kewangan secara berkala adalah langkah bijak untuk memastikan anda sentiasa berada di landasan yang betul. Luangkan sedikit masa untuk menilai keadaan kewangan anda dengan teliti. Ini adalah peluang untuk mengukur kemajuan kewangan anda dan membuat sebarang penyesuaian yang diperlukan. Sama ada anda perlu menyusun semula belanjawan atau menyelaraskan matlamat simpanan, pemantauan berkala dapat membantu memastikan perjalanan kewangan anda lebih teratur dan terkawal.
3. Membina dana kecemasan
Menabung untuk dana kecemasan adalah langkah bijak dalam pengurusan kewangan yang patut anda mulakan hari ini, tanpa mengira keadaan kewangan anda sekarang. Hidup penuh dengan kejutan – ada kalanya kita terpaksa berdepan dengan perbelanjaan luar jangka atau gangguan pendapatan.
Sasarkan untuk menyimpan dana yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan hidup sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hingga enam bulan dalam akaun yang mudah diakses. Dana ini berfungsi sebagai jaringan keselamatan kewangan, memberi ketenangan dan membantu anda menghadapi masa sukar dengan lebih yakin.
4. Meningkatkan celik kewangan
Dengan meningkatkan celik kewangan, anda akan memperoleh pengetahuan yang membolehkan anda untuk membuat keputusan bijak, termasuk membentuk tabiat menabung yang lebih baik melalui perancangan bajet yang teratur, penetapan matlamat, kesedaran risiko, pengurusan hutang, perancangan kecemasan, pengetahuan pelaburan, dan perubahan tingkah laku yang positif. Luangkan sedikit masa setiap minggu untuk menyertai aktiviti pembelajaran, seperti membaca buku, mengikuti blog kewangan yang dipercayai, atau mendengar podcast yang bermanfaat.
5. Jadikan KWSP sebagai sahabat kewangan anda
Pernahkah anda terfikir bahawa KWSP boleh menjadi sahabat kewangan yang membantu meningkatkan kesejahteraan kewangan anda? KWSP menyediakan kemudahan yang direka khusus untuk membantu anda mencapai matlamat kewangan. Mari kita lihat bagaimana kemudahan ini dapat membawa anda lebih dekat kepada aspirasi kewangan anda.
a) Pengurusan bajet & penjejak perbelanjaan
Salah satu asas kejayaan kewangan adalah merancang bajet dengan teliti. Dalam bajet tersebut, anda perlu catatkan pendapatan, perbelanjaan, dan matlamat simpanan anda. Kini, tugas ini menjadi lebih mudah dengan adanya aplikasi mesra pengguna seperti Belanjawanku oleh KWSP yang membantu anda memantau perbelanjaan dan mengenal pasti item yang boleh anda kurangkan untuk berjimat.
Aplikasi Belanjawanku memudahkan anda merancang dan menjejak perbelanjaan bulanan dan tahunan dengan lebih berkesan, membendung perbelanjaan yang tidak perlu dan membimbing anda mencapai matlamat kewangan dengan lebih efisien.
Anda boleh memilih panduan perbelanjaan Belanjawanku yang menganggarkan perbelanjaan minimum bulanan berdasarkan profil anda atau Peraturan Umum (Rule of Thumb) dengan mengkategorikan perbelanjaan bulanan mengikut tiga kategori perbelanjaan iaitu 45% untuk keperluan, 35% untuk komitmen dan 20% untuk simpanan. Ini dapat membantu anda membandingkan perbelanjaan anda dengan bajet yang disyorkan dan memahami keadaan kewangan anda dengan lebih baik.
Anda boleh muat turun aplikasi tersebut melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.
b) Tingkatkan simpanan anda
Carum dengan mudah ke akaun KWSP anda melalui fungsi Caruman Sukarela yang disediakan dalam aplikasi KWSP i-Akaun. Fungsi ini membolehkan anda membuat caruman secara fleksibel untuk menambah simpanan bahkan dengan amaun serendah RM10. Manfaatkan kesempatan ini untuk menguruskan kewangan masa depan anda dengan lebih baik dan saksikan bagaimana caruman kecil ini membuka peluang besar untuk pertumbuhan simpanan anda.
Selain itu, anda juga boleh memilih kemudahan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun (Voluntary Excess), di mana anda atau majikan anda boleh membuat caruman melebihi kadar yang ditetapkan. Proses ini akan dilakukan secara automatik melalui potongan upah bulanan, memastikan caruman tetap konsisten.
Dengan memanfaatkan pilihan-pilihan ini, anda tidak hanya membina pelan persediaan yang kukuh, tetapi juga dapat melihat simpanan anda berkembang secara konsisten. Ini dapat memberikan keyakinan dan ketenangan fikiran kerana simpanan anda akan terus berkembang secara berterusan.
Baca juga: Tingkatkan Simpanan Anda Dengan Akaun KWSP
Optimumkan pertumbuhan simpanan KWSP anda dengan usaha yang minimum
Salah satu inisiatif kerajaan untuk menyediakan persaraan adalah melalui penggubalan akta yang mewajibkan sebahagian daripada pendapatan bulanan pekerja disalurkan ke dalam KWSP. Dana persaraan ini biasanya tidak boleh dikeluarkan kecuali dalam situasi tertentu.
Walaupun ada keinginan untuk mengeluarkan dan menggunakan dana tersebut bagi menampung pelbagai perbelanjaan harian yang semakin meningkat, manfaat yang lebih besar boleh diperoleh dengan mengekalkan dana tersebut dalam KWSP demi kepentingan masa depan yang lebih baik.
Adalah penting untuk memahami bahawa simpanan anda di KWSP akan terus berkembang seiring dengan masa. Walaupun pertumbuhannya mungkin tidak kelihatan besar dalam jangka masa pendek, namun kesan berganda yang berterusan akan menjadikan simpanan anda meningkat dengan ketara dari semasa ke semasa.